KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima laporan berhubung proses penilaian dan pelaksanaan kerja naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil yang sebelum ini menjadi perhatian susulan dakwaan berkaitan proses perolehan projek berkenaan.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, isu tersebut kini berada dalam perhatian suruhanjaya itu untuk siasatan dan tindakan lanjut termasuk penelitian terhadap maklumat serta dokumen berkaitan yang diterima.
Menurut kenyataan itu, SPRM sentiasa memandang serius sebarang dakwaan yang mempunyai unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan kepentingan awam serta perolehan kerajaan.
"SPRM mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan bagi memastikan proses penelitian dapat dijalankan secara menyeluruh dan profesional.
"SPRM menyeru mana-mana pihak yang tampil menyalurkan maklumat terhadap sebarang isu berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa agar tidak mendedahkannya kepada mana-mana pihak," menurut kenyataan itu pada Jumaat.
SPRM berkata, langkah tersebut penting bagi mengelakkan kebocoran maklumat selain memastikan sebarang proses tindakan lanjut tidak terjejas.
Sebelum ini, media melaporkan seorang kontraktor membuat laporan kepada SPRM berhubung isu proses perolehan projek naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil yang dianggarkan bernilai RM24 juta.
Laporan itu dikemukakan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dan didakwa melibatkan dua tender berkaitan persiapan temasya Sukan SEA 2027.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk proses penilaian bidaan bagi pemasangan trek larian baharu serta sistem lantai pelindung yang digunakan ketika penganjuran konsert dan acara berskala besar di stadium berkenaan.
Pengadu turut dilaporkan mempersoalkan kaedah pemilihan dan penilaian tender yang melibatkan beberapa syarikat serta jenama antarabangsa yang menyertai proses perolehan tersebut.






