Kecergasan, sains sukan dan AI pemangkin dominasi JDT dalam Piala Malaysia

FootballSports
25 May 2026 • 11:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kecergasan, sains sukan dan AI pemangkin dominasi JDT dalam Piala Malaysia
Pasukan JDT meraikan kejayaan selepas berjaya menewaskan pasukan Selangor FC dengan keputusan 2-1 pada Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. Foto: Bernama

KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim FC menjuarai Piala Malaysia secara konsisten memperlihatkan satu dimensi baharu dalam pembangunan bola sepak profesional di Malaysia. Dominasi yang ditampilkan bukan sekadar bergantung kepada faktor teknikal dan taktikal semata-mata, sebaliknya turut dipacu oleh tahap kecergasan fizikal pemain yang berada pada tahap optimum hasil aplikasi sains sukan serta penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (Artificial Intelligence — AI).

Dalam konteks bola sepak moden, kecergasan bukan lagi ditafsirkan hanya sebagai kemampuan pemain berlari selama 90 minit permainan. Sebaliknya, kecergasan merangkumi keupayaan pemain mengekalkan intensiti permainan, melakukan transisi pantas antara serangan dan pertahanan, meningkatkan kecekapan membuat keputusan serta mengekalkan fokus mental sepanjang perlawanan berlangsung. Oleh itu, pasukan yang mempunyai tahap kecergasan tinggi lazimnya mampu mengawal tempo permainan dengan lebih konsisten berbanding lawan.

Jika dianalisis secara menyeluruh, JDT memiliki kelebihan yang ketara dari sudut daya tahan fizikal dan intensiti permainan. Pemain-pemain mereka dilihat masih mampu melakukan tekanan tinggi terhadap lawan walaupun permainan memasuki minit-minit akhir. Situasi ini menunjukkan bahawa elemen kecergasan dalam pasukan tersebut dibangunkan menerusi pendekatan saintifik dan bukan sekadar latihan konvensional semata-mata.

Hakikatnya, perkembangan bola sepak global hari ini memperlihatkan bahawa sains sukan menjadi elemen penting dalam menentukan prestasi sesebuah pasukan. Penggunaan analisis data, pemantauan beban latihan, pemakanan atlet, psikologi sukan, kaedah pemulihan kecederaan serta teknologi prestasi telah menjadi sebahagian daripada ekosistem bola sepak profesional. Malah, penggunaan AI kini semakin berkembang dalam membantu jurulatih dan pegawai prestasi menganalisis corak permainan, kadar keletihan pemain, risiko kecederaan serta keberkesanan taktikal secara lebih tepat dan pantas.

Melalui teknologi AI, data pergerakan pemain dapat dianalisis secara masa nyata bagi mengenal pasti tahap kecergasan dan prestasi individu. Pendekatan ini membantu pasukan membuat keputusan yang lebih tepat berkaitan rotasi pemain, intensiti latihan serta strategi permainan. Dalam bola sepak moden, keputusan berasaskan data dan teknologi semakin menjadi faktor utama yang membezakan pasukan elit dengan pasukan biasa.

Pada pandangan penulis, kejayaan JDT membuktikan bahawa sains sukan dan teknologi AI mempunyai hubungan langsung dengan pencapaian sesebuah pasukan. Dalam era bola sepak moden, kemenangan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kemahiran teknikal pemain, tetapi turut dipengaruhi oleh sejauh mana sesebuah organisasi mampu mengurus aspek fisiologi, psikologi dan kecergasan atlet secara profesional dengan bantuan teknologi pintar. Keupayaan mengekalkan konsistensi prestasi sepanjang musim merupakan indikator utama keberkesanan pengurusan sains sukan dan teknologi dalam sesebuah pasukan.

Selain itu, budaya profesionalisme yang diterapkan dalam pengurusan JDT juga wajar diberikan perhatian. Penekanan terhadap disiplin latihan, pengurusan pemakanan, proses pemulihan serta pemantauan prestasi pemain memperlihatkan bahawa pembangunan bola sepak moden memerlukan integrasi antara ilmu sains, teknologi AI dan pengurusan sukan yang efektif.

Pendekatan ini secara tidak langsung mewujudkan standard baharu dalam landskap bola sepak tempatan.

Sehubungan itu, kejayaan JDT sewajarnya dijadikan model pembangunan kepada pasukan-pasukan lain di Malaysia. Pelaburan dalam aspek sains sukan dan teknologi AI tidak seharusnya dianggap sebagai kos tambahan, sebaliknya sebagai pelaburan strategik bagi meningkatkan prestasi atlet dan daya saing pasukan. Tanpa penekanan terhadap aspek kecergasan, data prestasi dan teknologi moden, sukar untuk bola sepak tempatan mencapai tahap kompetitif yang lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

Kesimpulannya, dominasi JDT dalam Piala Malaysia memperlihatkan bahawa kecergasan, sains sukan dan kecerdasan buatan merupakan asas penting dalam pembentukan pasukan bola sepak moden yang berjaya.

Kejayaan tersebut bukan sahaja mencerminkan kekuatan pemain di atas padang, tetapi juga keberkesanan sistem pengurusan prestasi yang berteraskan ilmu, teknologi dan perancangan strategik secara menyeluruh.

*Prof Madya Dr Mohd Norazwan A Bakar ialah Pensyarah kanan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor Kampus Bestari Jaya mohdnorazwan@unisel.edu.my