
KANGAR: Kira-kira 38,000 pesawah yang masih belum menerima bekalan baja sebatian tambahan bagi kawasan seluas 78,117 hektar berdepan kerugian sehingga RM1.3 juta sehari berikutan kelewatan bekalan yang memberi kesan kepada tanaman padi.
Anggaran itu mengambil kira kerugian sekitar RM25 sehektar bagi setiap pesawah yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 52,000 hektar yang kini berada pada peringkat 31 hingga 75 hari usia tanaman.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, kelewatan pembekalan baja tersebut boleh menyebabkan hasil merosot sehingga 30 peratus, selain memaksa pesawah mengeluarkan modal sendiri untuk membeli baja di pasaran luar pada harga lebih tinggi.
Katanya, setiap pesawah mampu memperoleh hasil padi antara lima hingga enam tan metrik sehektar dengan pendapatan sehingga RM10,000 sekiranya tanaman tidak berdepan sebarang masalah.
Beliau berkata, jika pendapatan RM10,000 itu dibahagikan kepada kira-kira empat bulan tempoh tanaman, pesawah memperoleh RM2,500 sebulan atau RM83 sehari.
“Apabila berlaku kelewatan pembekalan baja berkenaan, hasil boleh merosot sehingga 30 peratus dengan pendapatan sekitar RM7,000 sehektar. Jika dibahagikan kepada kira-kira empat bulan pesawah mengerah kudrat di bendang, mereka hanya menerima pendapatan RM1,750 sebulan atau RM58 sehari, iaitu kerugian sekitar RM25 sehari.
“Sebelum ini, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengakui kira-kira 52,000 hektar tanaman padi kini berada pada peringkat 31 hingga 75 hari, iaitu tempoh kritikal pertumbuhan tanaman. Berdasarkan anggaran kerugian RM25 sehari bagi setiap pesawah yang terlibat, jumlah keseluruhan kerugian sehari mencecah RM1.3 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, MADA memberi jaminan akan meningkatkan pemantauan dan penyelarasan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan pihak berkaitan bagi memastikan baki bekalan baja sebatian tambahan sebanyak 478,455 beg membabitkan keperluan 38,000 pesawah dapat diselesaikan sebelum tempoh bekalan berakhir pada 1 Oktober ini.
MADA berkata, setakat Selasa, sebanyak 137,560 beg baja atau 22 peratus sudah dibekalkan berbanding keperluan keseluruhan 616,015 beg.
Katanya, berlaku ketidakcukupan bekalan pada tempoh tertentu yang menjejaskan kelancaran pengedaran kepada pesawah.
Pada masa ini, kira-kira 52,000 hektar tanaman berada pada peringkat 31 hingga 75 Hari Lepas Tabur (HLT), iaitu tempoh yang memerlukan aplikasi baja padi kali ketiga bagi menyokong pembentukan tangkai dan pengisian biji padi.
Mohd. Shazwan berkata, pesawah tidak boleh lagi dibiarkan terus menunggu, sebaliknya memerlukan kepastian mengenai tarikh sebenar baja akan dihantar kerana kelewatan memberi kesan besar kepada tanaman.
“Padi tidak boleh disuruh ‘berhenti’ membesar sementara menanti pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah pembekalan.
“Setiap hari yang berlalu mempunyai kesan cukup besar kepada tanaman. Apabila baja lewat, pesawah menanggung risiko, apabila hasil merosot, pesawah menanggung kerugian dan apabila kos meningkat, pesawah juga yang terpaksa mengeluarkan modal tambahan.
“Tetapi apabila masalah ini berlaku, jawapan yang diberikan ialah pemantauan, penyelarasan, analisis dan pembekalan akan dipercepatkan. Pesawah tidak mahu lagi mendengar ayat-ayat seperti itu, sebaliknya mahu tindakan,” katanya.
Ujarnya, pihaknya turut menuntut MADA tidak lagi memberikan jawapan yang terlalu umum.
Jelasnya, pesawah berhak mengetahui tarikh sebenar penghantaran, kawasan yang belum menerima baja, keputusan analisis kualiti baja dan pihak yang bertanggungjawab terhadap kelewatan berkenaan.
Seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 63, berkata, usia tanaman padi di kawasan seluas dua hektar yang diusahakannya sudah memasuki 70 hari.
Katanya, dia terpaksa membeli baja ganti di luar dengan harga RM70 satu beg disebabkan kelewatan pembekalan baja tambahan itu.
“Saya memerlukan lapan beg bagi keluasan dua hektar tersebut, yang menelan belanja sehingga RM560. Sebelum ini, hasil padi antara lima hingga enam tan metrik sehektar boleh merosot sehingga 30 peratus ekoran kelewatan baja.
“Pendapatan saya daripada RM10,000 per hektar dijangka tinggal RM7,000 sahaja. Empat bulan membanting tulang di bendang, hanya boleh RM1,750 sebulan atau RM58 sehari.
“Dahulu, sebelum memulakan tanaman semua tiga jenis baja sudah tersedia. Kini, tanaman berusia lebih dua bulan, baja belum muncul,” katanya. – UTUSAN
The post Pesawah rugi RM1.3 juta sehari kerana baja lewat appeared first on Utusan Malaysia.






