SST elektrik 8% perlu dimansuhkan, pengguna kini berdepan tekanan kos meningkat – Dr Wee Ka Siong

LocalPolitics
8 Jul 2026 • 5:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SST elektrik 8% perlu dimansuhkan, pengguna kini berdepan tekanan kos meningkat – Dr Wee Ka Siong Image from: SST elektrik 8% perlu dimansuhkan, pengguna kini berdepan tekanan kos meningkat – Dr Wee Ka Siong liza08/07/2026 - 17:56 Gambar hiasan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Julai – Kerajaan digesa mengambil tindakan segera untuk menangguhkan atau memansuhkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 8% ke atas bil elektrik berikutan tekanan kos yang semakin dirasai pengguna serta sektor perniagaan.

 

Gesaan itu dibuat Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang menyifatkan caj SST terhadap bil elektrik sebagai beban tambahan kepada rakyat ketika kos tenaga terus meningkat.

 

Menurut beliau, mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) yang sebelum ini membantu mengurangkan bil elektrik kini berubah menjadi caj tambahan selepas bertukar daripada rebat kepada surcaj.

 

“Ini menyebabkan pengguna terpaksa menanggung peningkatan bil elektrik secara berterusan, walaupun penggunaan tenaga adalah hampir sama.

 

“Dulu AFA membantu mengurangkan bil rakyat. Hari ini, ia menjadi caj tambahan yang menyebabkan bil semakin meningkat,” katanya menerusi satu video di TikTok.

 

Beliau berkata, tekanan terhadap pengguna menjadi lebih ketara selepas SST 8% dikenakan ke atas bil elektrik tertentu sejak Mac 2024 kerana jumlah cukai yang perlu dibayar akan meningkat seiring dengan kenaikan bil.

 

Sebagai contoh, katanya, sekiranya bil elektrik berjumlah RM200, pengguna perlu membayar SST sebanyak RM16, manakala bil sebanyak RM400 akan menyebabkan jumlah SST meningkat kepada RM32.

 

Bagi peniaga pula, Dr Wee berkata, bil elektrik sebanyak RM1,000 akan menyebabkan tambahan kos sebanyak RM80 hanya untuk bayaran SST, sekali gus memberi tekanan kepada operasi perniagaan.

 

t
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

 

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan rakyat dan peniaga berdepan kesan berganda apabila perlu membayar bil elektrik lebih tinggi, di samping menanggung jumlah cukai yang turut meningkat.

 

Beliau memberi amaran peningkatan kos elektrik bukan sahaja memberi kesan kepada isi rumah, malah boleh menjejaskan daya saing perniagaan apabila kos operasi meningkat dan akhirnya diterjemahkan kepada harga barangan serta perkhidmatan untuk pengguna.

 

Dalam pada itu, Dr Wee turut meminta penjelasan kerajaan berhubung pelarasan kira-kira RM10.6 bilion dalam penyata kewangan 2025 Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkaitan tuntutan cukai tambahan.

 

Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan sama ada jumlah tersebut  benar-benar dikenakan, sebab ia dikenakan dan sama ada perkara itu mempunyai kaitan dengan peningkatan kos elektrik yang ditanggung pengguna.

 

“Jangan kutip cukai daripada TNB secara senyap, kemudian rakyat pula yang terpaksa menanggung kesannya melalui bil elektrik yang lebih tinggi,” katanya.

 

Dr Wee berkata, TNB merupakan syarikat strategik negara yang turut dimiliki oleh institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

 

Beliau berkata, sebarang tekanan terhadap kedudukan kewangan TNB akhirnya boleh memberi kesan kepada rakyat, selain memberi amaran bahawa kenaikan kos tenaga berterusan boleh menjejaskan daya saing industri serta pelaburan, khususnya ketika Johor sedang menarik kemasukan pelaburan, kilang dan peluang pekerjaan baharu. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved