PERLAWANAN pembukaan Piala Dunia 2026 di Kanada berlangsung dalam suasana tidak seperti dijangka apabila ratusan kerusi kosong jelas kelihatan di Stadium Toronto, sekali gus mencetuskan semula kritikan terhadap dasar harga tiket tinggi yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Perlawanan antara tuan rumah bersama Kanada dan Bosnia-Herzegovina itu dimainkan di stadium berkapasiti 44,315 penonton, namun gagal mencapai jualan penuh walaupun berlangsung di laman sendiri.
Tiket dilaporkan masih dijual beberapa jam sebelum sepak mula dengan harga mencecah antara AS$1,645 (RM6,674) hingga AS$2,240 (RM9,089) bagi kategori utama, sekali gus menimbulkan persoalan kemampuan penyokong untuk memenuhi stadium.
Sepanjang perlawanan, beberapa bahagian tempat duduk kosong dapat dilihat dengan jelas menerusi siaran langsung televisyen, terutama di kawasan bertentangan kamera, meskipun suasana di bahagian penyokong Kanada kekal meriah.
“FIFA mengesahkan tiket perlawanan itu hampir habis dijual, namun sebahagian penonton berada di kawasan laluan (concourse) dan bukan di tempat duduk mereka,” kata badan induk bola sepak dunia itu.
Isu kehadiran rendah ini turut diilaporkan selepas perlawanan kedua kejohanan di Guadalajara antara Korea Selatan dan Republik Czech yang menyaksikan ribuan tempat duduk kosong, walaupun FIFA mendakwa ia hampir habis dijual.
Di Toronto, situasi lebih ketara apabila kamera siaran langsung beberapa kali menyorot kawasan kosong terutama ketika aksi tertumpu di bahagian bertentangan padang.
Laporan turut menyebut hanya 29 perlawanan telah habis dijual sebelum kejohanan bermula, manakala tiket masih tersedia untuk puluhan aksi lain di laman rasmi FIFA beberapa hari sebelum sepak mula.
Dalam perkembangan berasingan, isu harga tiket Piala Dunia 2026 turut menjadi perhatian pihak berkuasa Amerika Syarikat apabila peguam negara New York dan New Jersey membuka penelitian terhadap dakwaan manipulasi harga serta amalan penjualan yang mengelirukan penyokong.
“FIFA perlu menjawab dakwaan berhubung peningkatan harga secara tidak wajar serta amalan yang didakwa mengelirukan pengguna dalam penjualan tiket,” menurut kenyataan pihak berkuasa undang-undang Amerika Syarikat.
Mereka turut mempersoalkan penggunaan sistem harga berubah mengikut permintaan yang didakwa menaikkan kos secara mendadak, selain amalan menahan tiket sebelum dilepaskan semula untuk meningkatkan harga akibat kekurangan bekalan.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, bagaimanapun mempertahankan harga tiket tersebut dengan merujuk kepada kos tinggi acara sukan di Amerika Syarikat, termasuk final NBA, sambil menegaskan Piala Dunia merupakan acara global terbesar.
Isu tiket ini telah menjadi kontroversi sejak awal jualan, dengan laporan sebelum ini menyebut tiket final mencecah sekitar £3,000 (RM16,334) dan kos keseluruhan mengikuti pasukan ke final boleh mencecah £5,000 (RM27,223) menjadikan edisi 2026 antara yang paling mahal dalam sejarah kejohanan.


