Stadium Shah Alam dibangunkan semula tahun depan dengan kos RM787 juta

15 Jul 2022 • 6:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Selangor akan membangunkan semula Stadium Shah Alam seawal tahun depan membabitkan kos berjumlah RM787 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pembangunan tersebut akan dijayakan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan dijadual siap pada 2026.

Katanya, jawatankuasa khas yang meneliti keadaan stadium berusia 28 tahun itu sejak 2013 berpendapat membangunkan semula ikon negeri itu lebih baik berbanding meneruskan kerja baik pulih.

“Pembinaan Stadium Shah Alam kosnya dulu RM400 juta. Kalau bina sekarang, kosnya sekali ganda dengan kos dulu. Jadi, kita baik pulih dengan bina baharu. Kosnya lebih kurang.

“Pembangunan semula dengan kos yang sekali ganda daripada pembinaan stadium ini boleh dianggap sebagai bangunan baharu,” katanya dalam majlis penyerahan surat niat (LOI) pembangunan semula stadium itu kepada MRCB.di di sini hari ini.

Ditanya sama ada bangunan stadium lama diroboh atau sebaliknya, Amirudin menegaskan: “Sama ada diperbaharui atau diroboh, sebenarnya orang Selangor dapat stadium baharu.”

MRCB dilantik untuk mengurus projek ini selepas mengambil kira kedudukan kewangan selain pengalaman membaik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2017.

Kerajaan Negeri sebelum ini memperuntuk RM5 juta setiap tahun bagi menyelenggara dan membaik pulih kerosakan stadium itu yang berlarutan sejak pentadbiran kerajaan dahulu.