
Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Air Ku (Star) mencadangkan agar menambah 14 hingga 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sabah.
Presidennya Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata ini sejajar dengan pertambahan kerusi Dun di Sarawak yang diluluskan baru-baru ini dan Sabah juga perlu melakukan tindakan sama.
“Memandangkan Sarawak telah mulakan (lulus RUU tambah kerusi Dun), kita juga harus lakukan perkara sama dan saya akan bangkitkan isu ini pada mesyuarat kabinet akan datang.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Perkiraan saya antara 14 hingga 17 bilangan kerusi (Dun baharu) perlu ditambah,” katanya ketika ditemui pada tayangan filem Oppa, Kesedaran Penipuan (Scam) di Marina Club, di sini, Ahad.
Hadir sama Ketua Star Bahagian Luyang Eliza Leong yang juga Presiden Persatuan Inspirasi Sabah (PIS) selaku penganjur program tersebut.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata cadangan itu sebagai ‘batu loncatan’ bagi menambah bilangan kerusi parlimen di Sabah pada masa depan khususnya di wilayah Borneo.
Menurutnya, Sabah dan Sarawak setakat ini masing-masing mempunyai 25 dan 31 kerusi parlimen iaitu kira-kira 25 peratus daripada 222 keseluruhan kerusi parlimen.
“Ini bermaksud, Semenanjung sudah mempunyai kelebihan lebih dua pertiga (suara di parlimen), manakala Sabah-Sarawak cuma 56 kerusi parlimen dan kita sudah setuju mahu ubah (situasi ini).
“Sebelum itu, kita terlebih dulu perlu tambah bilangan kerusi Dun di Sabah dan kita jangkakan tambahan sekitar 34 kerusi parlimen baharu (di Sabah), pada pendapat saya,’ katanya.
Dalam perkembangan lain, Jeffrey berharap Mesyuarat Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hari ini (14 Julai) akan mencapai satu penyelesaian bagi isu pulangan 40 peratus hasil bersih kepada Sabah.
Katanya, ia wajar ditunaikan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dilaksanakan, tetapi perkara itu sudah berlarutan selama lebih 40 tahun tanpa semakan setiap lima tahun sekali.
“Hasil bersih 40 peratus bukan mengenai royalti petroleum, ini membabitkan hasil daripada semua sumber seperti perniagaan dan sebagainya yang diperolehi dari Sabah dan Persekutuan.
“Enam puluh peratus hasil milik persekutuan, manakala 40 peratus kembali kepada kita (Sabah) dan Kerajaan Persekutuan harus tentukan satu jumlah sewajarnya (hasil 40 peratus itu) dan Sabah juga akan kemukakan jumlah berdasarkan rekod.
“Justeru itu, saya berharap Mesyuarat Teknikal MA63 akan mencapai satu penyelesaian isu 40 peratus ini, seterusnya dilaksanakan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

