
KUALA LUMPUR – Kedudukan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, masih belum ditentukan apabila Lembaga Disiplin parti itu mengesahkan tiada sebarang keputusan rasmi dibuat setakat ini.
Sumber dalaman menjelaskan, lembaga berkenaan masih meneliti aduan yang difailkan dan hanya akan membuat ketetapan selepas semua prosedur dalaman dipatuhi.
"Demi keadilan, Lembaga Disiplin parti belum membuat sebarang keputusan berkenaan perkara itu (status Hamzah dalam parti). Beliau kini berada di luar negara dan tidak dapat hadir (untuk proses berkaitan)," katanya memetik laporan BH.
Sumber itu turut mengingatkan agar tiada pihak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan suasana dalam parti, sebaliknya memberi ruang kepada proses keadilan mengikut saluran yang ditetapkan.
Isu kedudukan Hamzah, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, menjadi perhatian selepas timbul desas-desus mengenai perpecahan kepimpinan dalaman Bersatu. Sebelum ini, namanya dikaitkan dengan beberapa tindakan disiplin, namun pucuk pimpinan menegaskan parti kekal utuh di bawah Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hamzah, Ahli Parlimen Larut, dilihat sebagai figura penting dalam strategi politik Perikatan Nasional (PN). Justeru, sebarang keputusan terhadap status beliau dijangka memberi kesan besar kepada hala tuju parti.
Difahamkan, empat aduan disiplin difailkan terhadap Hamzah, termasuk dakwaan gagal menghalang kenyataan menyerang Muhyiddin, mencemarkan imej parti, serta rundingan tanpa mandat dengan presiden parti komponen PN.
Hamzah juga dikatakan tidak hadir memberi keterangan pada 12 tengah hari, 8 Februari lalu, di Ibu Pejabat Bersatu, seperti yang ditetapkan dalam notis kedua bertarikh 6 Februari.
Setakat ini, media masih menunggu kenyataan rasmi daripada Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan, atau Setiausaha Kerja parti mengenai garis masa keputusan tersebut. - 13 Februari, 2026
The post Status Hamzah masih tergantung appeared first on Scoop.
