Status negara tua: ‘Silver economy’ bakal jana peluang pelaburan bernilai bilion ringgit - MBSB Research

13/08/2025 - 11:47
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 13 Ogos – Perubahan demografi Malaysia yang dijangka mencapai status negara tua menjelang 2048 bukan sahaja membawa cabaran sosial dan kesihatan, malah akan memacu pertumbuhan ‘silver economy’ bernilai bilion ringgit, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, peluang ekonomi tersebut merangkumi sektor kediaman warga emas, perkhidmatan penjagaan kesihatan, teknologi mesra usia, pelancongan perubatan serta produk kewangan khusus.
“Berdasarkan ramalan, golongan penduduk berusia 65 tahun ke atas akan meningkat daripada 8% pada 2025 kepada 18.3% menjelang 2060.
“Situasi ini akan mewujudkan pasaran besar bagi pelaburan strategik oleh pemaju hartanah, penyedia penjagaan kesihatan dan pengendali fasiliti penjagaan jangka panjang,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Dasar kerajaan turut menyokong peralihan ini melalui kerangka seperti Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Induk Penuaan Nasional yang memberi tumpuan kepada perlindungan sosial, infrastruktur mesra usia dan penjagaan berterusan.
Firma itu berkata, di sektor swasta, pemain utama seperti Sunway Bhd, UOA Development Bhd dan IGB Bhd kini giat membangunkan projek kediaman warga emas premium dan kemudahan yang sesuai dengan keperluan golongan itu sejajar dengan permintaan meningkat untuk kemudahan penjagaan berkualiti tinggi.

Sunway Sanctuary pelopori pelancongan perubatan
Projek mercu tanda Sunway Sanctuary yang dilancarkan pada 2023 oleh Sunway Healthcare Group terus mencatat peningkatan kadar penghunian daripada 30% pada 2024 kepada 50% pada masa ini melibatkan 235 unit fasa pertama daripada 473 unit keseluruhan.
Kemudahan itu dijangka terus menarik minat pelancong perubatan memandangkan lokasinya bersebelahan Pusat Perubatan Sunway dengan fasa kedua projek bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
MBSB Research mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap saham Sunway dengan harga sasaran RM5.01 dengan menjangkakan penyenaraian Sunway Healthcare Group pada separuh pertama tahun kewangan 2026 sebagai pemangkin utama jangka pendek.
UOA jana pendapatan berulang melalui Komune Living and Wellness
Firma itu berkata, bagi UOA Development pula, pembangunan projek Komune Living and Wellness (KLW) di Cheras merekodkan peningkatan ketara kadar penghunian kepada 78% pada suku pertama FY25, berbanding 40%–50% pada FY23.
Dibangunkan dengan kos RM250 juta, projek itu menyumbang kepada pendapatan berulang kumpulan, dengan hasil sewaan dan hospitaliti berjumlah RM383 juta pada FY24.
MBSB Research turut mengekalkan saranan ‘buy’ terhadap UOA dengan unjuran hasil dividen menarik sebanyak 5.7% dan kedudukan tunai bersih kukuh.

IGB fokus pemulihan pasca pembedahan
Sementara itu, IGB Bhd pula menceburi segmen silver economy pada 2022 melalui ReU Living, operator kediaman dengan sokongan penjagaan yang menawarkan pemulihan pasca pembedahan dan selepas mendapatkan rawatan di hospital.
Firma itu berkata, kadar penghunian di ReU Living kini hampir penuh dengan 40% tetamu terdiri daripada pakej pemulihan pasca pembedahan dan 60% lagi bagi penjagaan kesihatan yang lain.
“Walaupun pasaran utama adalah penduduk tempatan, IGB menjangka projek itu akan berjaya menarik minat yang tinggi daripada warga asing,” katanya.
MBSB Research menilai harga wajar saham IGB pada RM3.10 berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan sebanyak 9.2 kali, disandarkan kepada EPS FY26 sebanyak 33.8 sen.- DagangNews.com
standard


