YTL-REIT optimis pasaran hospitaliti terus pulih, nilai aset pelaburan kini cecah RM5.44 bilion

01/08/2025 - 12:49
Gambar/YTL Hospitality REIT Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 1 Ogos – YTL Hospitality Real Estate Investment Trust (YTL-REIT) kekal yakin terhadap prospek sektor hospitaliti di ketiga-tiga pasaran operasinya, Malaysia, Australia dan Jepun disokong oleh permintaan berterusan serta pengurusan portfolio yang aktif.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, YTL-REIT berkata, ia sedang menguruskan portfolio perniagaan secara aktif dan membuat keputusan strategik bagi melindungi pertumbuhan jangka panjang serta mencipta nilai mampan untuk para pemegang unit.
"Jangkaan optimis itu berikutan kejayaan YTL-REIT mencatatkan peningkatan 0.9% dalam pendapatan hartanah bersih (NPI) kepada RM292.07 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25), meskipun hasil keseluruhan menurun 1.2% kepada RM548.3 juta.
"Prestasi tahun ini disokong oleh sumbangan sewaan tambahan daripada hotel-hotel AC yang telah dinaik taraf di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan, serta perjanjian baharu bagi AC Hotel Ipoh yang mula beroperasi pada April lalu," katanya.
Dua lagi hartanah di Kuala Lumpur iaitu Hotel Stripes dan JW Marriott Hotel turut menyumbang kepada pertumbuhan hasil menerusi semakan semula kadar sewaan yang lebih tinggi.
YTL-REIT berkata, secara keseluruhan, portfolio hartanah di Malaysia terus mencatat prestasi positif dengan hasil meningkat 5.9% kepada RM163.1 juta, manakala NPI naik 6% kepada RM154.9 juta.
"Sebaliknya, hasil dari Australia dan Jepun masing-masing menurun 4.1% dan 2.1%, dengan NPI susut 3% kepada RM116.1 juta di Australia dan jatuh 11.4% kepada RM21.1 juta di Jepun, sebahagiannya disebabkan kerja pembaikan dan penyelenggaraan aset Jepun.
"Bagi suku keempat FY25, hasil susut 2.4% kepada RM127.03 juta, manakala NPI turun 2.8% kepada RM63.97 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya," kata YTL-REIT.
Kumpulan mengisytiharkan agihan pendapatan akhir sebanyak 4.8372 sen seunit bagi separuh kedua FY25, menjadikan jumlah keseluruhan agihan tahun tersebut sebanyak 7.75 sen, bersamaan kadar agihan 100.4%, meskipun sedikit rendah daripada 8.27 sen pada FY24.
YTL-REIT berkata, pendapatan sesaham turut menurun kepada 8.72 sen daripada 10.44 sen sebelumnya.
"Namun begitu, kumpulan menerima lonjakan nilai sebanyak RM124 juta hasil lebihan penilaian semula hartanah pada Mei lalu, yang meningkatkan nilai keseluruhan hartanah pelaburan kepada RM5.06 bilion daripada RM4.94 bilion," katanya.
Sehingga 30 Jun 2025, YTL-REIT menguruskan 18 hartanah merangkumi 4,915 bilik di ketiga-tiga negara iaitu 13 hartanah di Malaysia (RM2.66 bilion), tiga di Australia (RM1.9 bilion), dan dua di Jepun (RM501 juta).
Nilai aset bersih sesaham (NAV) YTL-REIT menyusut sedikit kepada RM1.725 berbanding RM1.746 setahun lalu.
Jumlah pinjaman kumpulan berjumlah RM2.33 bilion dengan nisbah hutang kepada aset sebanyak 42.8% dan perlindungan faedah pada kadar 2.1 kali.
YTL-REIT memiliki nilai aset keseluruhan sebanyak RM5.44 bilion, dengan ruang tambahan pinjaman (debt headroom) dianggarkan sebanyak RM621 juta untuk membiayai sebarang pengambilalihan strategik pada masa hadapan.
Tiga hotel berjenama Marriott milik kumpulan di Australia mencatat kadar penginapan purata stabil iaitu 82.9% dalam FY25, berbanding 82.5% pada tahun sebelumnya, mencerminkan kekuatan pasaran pelancongan serantau yang terus pulih. - DagangNews.com
standard

