STB bekerjasama dengan Royal Brunei Airlines kendalikan penerbangan Taiwan - Sarawak 

30 Aug 2024 • 3:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

STB bekerjasama dengan Royal Brunei Airlines kendalikan penerbangan Taiwan - Sarawak

syaza

30/08/2024 - 15:56

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menjalin kerjasama strategik dengan Royal Brunei Airlines bagi mengendalikan penerbangan Taiwan-Sarawak dan memastikan laluan sambungan lancar antara negara itu dan Sarawak.

Menerusi perkongsian itu, penerbangan Royal Brunei Airlines akan beroperasi sebanyak empat kali seminggu dari Bandar Seri Begawan ke Kuching, tiga kali seminggu dari Taipei ke Bandar Seri Begawan dan dua kali seminggu dari Taipei melalui Bandar Seri Begawan ke Kuching.

Menurut STB, perkongsian itu terbentuk semasa tamatnya seminar rangkaian perniagaan yang diadakan pada 27 Ogos 2024 di Taichung dan hari ini di Taipei, Taiwan.

Acara ini merupakan sebahagian daripada kempen "Gateway to Borneo" bagi mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama dalam kalangan profesional industri pelancongan Taiwan.

Dengan penyertaan tiga pengendali pelancongan dan tiga pengendali hotel dari Sarawak, seminar tersebut memupuk hubungan kukuh antara industri pelancongan Sarawak dan Taiwan.

Sehingga Julai 2024, Taiwan mencatatkan peningkatan 24% dalam ketibaan pelawat ke Sarawak berbanding tempoh yang sama tahun lepas, meletakkan Taiwan antara 10 negara teratas yang mengunjung ke negeri itu.

Bagi memantapkan lagi inisiatif pelancongan, STB memperkenalkan dana kerjasama strategik bagi memperkasakan pengendali pelancongan dengan menyediakan sumber dan sokongan penting.

"Dana ini memainkan peranan penting dalam memperkasakan promosi Sarawak melalui pelbagai cara, seperti memudahkan penyertaan dalam pameran pelancongan berprestij, menciptakan kempen pemasaran yang menarik, dan membangunkan pengalaman pelancongan budaya yang unik.

"Pemohon yang layak termasuk mereka yang dilesenkan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) atau diiktiraf oleh persatuan pelancongan yang berkaitan," ujar STB dalam kenyataan hari ini.

STB juga berkata, dengan memanfaatkan dana ini, pengendali pelancongan boleh meluaskan jangkauan mereka dengan ketara, menarik khalayak yang lebih luas dan memacu pertumbuhan perniagaan yang ketara.

Pengarah Pemasaran STB untuk Asia Utara & Pasaran Baru, Dylan Redas Noel berkata, perkongsian tersebut diterima banyak sambutan yang menggalakkan daripada rakan kongsinya di Taiwan. - DagangNews.com