Steam Machine Akan Hadir Dengan Tanda Harga Sebuah PC, Bukan Konsol Permainan Video

TechnologyGaming
25 Nov 2025 • 4:45 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Dua minggu lalu, Valve telah mengumumkan siri produk gaming terbaru mereka, termasuklah “konsol” Steam Machine, Steam Controller yang dikemaskini dan alat kawalan realiti maya Steam Frame. Sejumlah butiran telah diperlihatkan mengenai konsol permainan ini, tetapi satu perkara yang masih menjadi tanda tanya sehingga sekarang ialah harga produk-produk ini.

Baru-baru ini, beberapa wakil dari pihak Valve telah ditemuramah oleh Skill Up, dan dalam video temuramah tersebut, Pierre-Loup Griffais, salah seorang individu di Valve yang bertanggungjawab untuk pembangunan Steam Deck dan Steam Machine telah ditanya mengenai tanda harga Steam Machine.

Tiada jawapan khusus telah diberikan, tetapi beliau mengatakan bahawa harga Steam Machine akan ditetapkan seperti sebuah komputer desktop, bukan sebuah konsol permainan video. “Anda boleh bayangkan bahawa jika anda membeli komponen-komponen komputer untuk membina sebuah komputer gaming, itulah tanda harga yang kami jangka akan ditetapkan untuk Steam Machine kelak.”

image is not available

Sebagai penjelasan, secara lazimnya sebuah konsol permainan yang dijual oleh syarikat-syarikat seperti Sony, Microsoft dan Nintendo hadir dengan tanda harga yang disubsidi oleh syarikat tersebut. Oleh kerana ini anda dapat lihat mengapa tanda harga perisian permainan pada konsol-konsol seperti Sony PlayStation 5, Xbox Series X/S dan Nintendo Switch 2 secara lazimnya akan mengekalkan tanda harga yang cukup mahal sepanjang masa.

Konsep ini dikenali sebagai “loss leader” dimana konsol-konsol ini dijual pada harga kos ataupun kerugian, tetapi jualan tajuk-tajuk permainan akan membawa untung yang lebih besar kepada syarikat.

Valve nampaknya tidak akan memberi sebarang subsidi harga jualan untuk Steam Machine, tetapi sebaliknya permainan-permainan pada platform Steam akan dijual pada harga lebih murah sepanjang masa, dan ia dilihat bahawa Steam Machine sudahpun hadir dengan pilihan permainan yang cukup banyak melalui perisian gedung permainan komputer mereka.

Dalam pada itu, perlu juga diingatkan bahawa tanda harga komponen memori dan storan kini semakin meningkat, dan dijangka akan memberi kesan kepada harga jualan Steam Machine kelak.