Steam Mengatakan Anda Tidak Memiliki Permainan Yang Dibeli

TechnologyGamingDigital
14 Oct 2024 • 12:42 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tahun lalu lebih 70% permainan video yang dibeli ialah dalam bentuk digital. Ini adalah sebab mengapa konsol PlayStation 5 Pro yang dilancarkan tahun ini tidak lagi ditawarkan dengan pemacu Blu-ray secara terbina. Pada platform PC, Steam ialah gedung permainan digital yang paling popular. Pada hujung minggu lalu Steam mengesahkan permainan yang dibeli menerusi mereka sebenarnya tidak dimiliki oleh pelanggan.

image is not available

Sebaliknya selama ini pengguna sekadar membeli lesen untuk permainan video di Steam. Pengumuman secara terbuka ini disedari oleh IGN dan ia berkait rapat dengan RUU di California yang mewajibkan platform memberitahu pelanggan dengan lebih terperinci mengenai produk yang dibeli secara digital. Dengan ini jika sesebuah permainan video ditarik daripada Steam, pelanggan tidak boleh merungut kerana tidak lagi boleh mengaksesnya di masa depan.

Sejurus selepas laporan ini tular, GOG mengeluarkan kenyataan bahawa setiap permainan yang dibeli menerusi mereka adalah milik pelanggan. Permainan boleh dimuat turun dan kemudian disimpan oleh pelanggan. Mereka hanya perlu memuat turun aplikasi pemasangan di luar talian untuk memasangnya di kemudian hari. Jika GoG menghentikan operasi esok, pelanggan tidak perlu risau permainan tidak lagi boleh dimainkan.

Isu mengenai pemilikan digital akan menjadi topik hangat dalam masa terdekat. Ubisoft sebelum ini menerima kritikal selepas permainan The Crew tidak lagi boleh dimainkan dalam mod luar talian walaupun dibeli secara fizikal oleh pelanggan. Sony pula memadam kesemua permainan Concord daripada konsol pengulas permainan secara automatik selepas sokongan dihentikan.