liza30/07/2026 - 16:24 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai – Steel Hawk Berhad memperluaskan operasi perniagaannya menerusi pengambilalihan 55% kepentingan ekuiti dalam Sparksfly Sdn Bhd dengan nilai tunai RM1.1 juta.
Pengambilalihan itu dibuat menerusi anak syarikat milik penuh Steel Hawk, Steel Hawk Manufacturing Sdn Bhd (SHMSB), yang memeterai perjanjian langganan saham bersyarat untuk mengambil pegangan majoriti dalam Sparksfly.
Menerusi transaksi tersebut, SHMSB akan melanggan sebanyak 611,112 saham biasa baharu dalam Sparksfly, mewakili kira-kira 55% daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.
Selepas urus niaga itu selesai, Sparksfly akan menjadi anak syarikat tidak langsung milik 55% oleh Steel Hawk.
Pada masa sama, SHMSB, Sparksfly dan pengasas syarikat itu turut memeterai perjanjian pemegang saham bagi mengawal selia pengurusan serta operasi Sparksfly selepas penyempurnaan transaksi.
Perluaskan Keupayaan Kejuruteraan Dan Pasaran Selatan Malaysia
Ditubuhkan pada 2018 dan beribu pejabat di Senai, Johor, Sparksfly merupakan syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan kejuruteraan, kerja fabrikasi serta sokongan industri minyak dan gas (O&G).
Syarikat berkenaan menyediakan perkhidmatan kepada segmen luar pesisir, bawah laut dan saluran paip yang melengkapi keupayaan sedia ada Steel Hawk dalam menyediakan perkhidmatan sokongan kejuruteraan kepada sektor tenaga.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, Sparksfly merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM283,138, manakala nilai aset bersih syarikat adalah kira-kira RM1.48 juta.
Pengarah Eksekutif Steel Hawk Berhad, Datuk Sharman K Michael berkata, pengambilalihan itu merupakan satu pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
“Walaupun kami kekal yakin dengan asas industri minyak dan gas Malaysia, kami menyedari kepentingan untuk meluaskan asas pelanggan serta mengembangkan segmen kejuruteraan berkaitan bagi membina daya tahan perniagaan yang lebih kukuh.
Strategi Pelbagaikan Pendapatan Jangka Panjang
“Sparksfly membawa bersama pasukan berpengalaman, keupayaan kejuruteraan yang mantap serta hubungan pelanggan yang kukuh, sekali gus melengkapi kekuatan sedia ada Steel Hawk.
“Gabungan kepakaran kedua-dua syarikat membolehkan kumpulan itu merebut peluang projek yang lebih besar dan pelbagai, khususnya dalam bidang luar pesisir, bawah laut serta kerja fabrikasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kerjasama itu turut menyokong strategi Steel Hawk untuk mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pelanggan tertentu dengan memperluaskan capaian kepada industri yang memerlukan keupayaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Steel Hawk menjangka pengambilalihan tersebut mampu memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan serta prospek jangka panjang kumpulan selepas selesai, tertakluk kepada keadaan tidak dijangka.
Pembelian pegangan majoriti dalam Sparksfly akan dibiayai menggunakan dana dalaman kumpulan dan tidak dijangka memberi kesan besar terhadap kedudukan kewangan Steel Hawk.
Steel Hawk yang diperbadankan pada 2020 merupakan penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan untuk industri minyak dan gas, meliputi kerja penyelenggaraan, pemasangan dan pentauliahan serta sokongan logistik bagi operasi huluan dan hiliran di Malaysia.
Kumpulan itu sebelum ini telah memperluaskan keupayaan operasi menerusi pelbagai projek termasuk EPCC bagi sistem suntikan bahan kimia serta kontrak penyelenggaraan jangka panjang, selain mengembangkan operasi ke Sarawak dan Sabah. - DagangNews.com


