CGSI: Keupayaan kawalan kos operasi projek jadi penentu pemulihan semula saham Econpile

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2026 • 10:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CGSI: Keupayaan kawalan kos operasi projek jadi penentu pemulihan semula saham Econpile Image from: CGSI: Keupayaan kawalan kos operasi projek jadi penentu pemulihan semula saham Econpile amree30/07/2026 - 10:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai — Keupayaan pengawalan kos operasi menjadi faktor kritikal menentukan prestasi saham Econpile Holdings Berhad yang masih lagi dalam harga rendah, kata CGS International (CGSI).

 

Firma berkenaan menambah, kumpulan tersebut perlu bijak dalam isu itu kerana keadaan industri pembinaan kekal berdepan dengan isu tekanan kos dan ketidaktentuan pelaksanaan banyak projek mega.

 

Sehubungan itu, kejayaan syarikat berkenaan meraih kontrak pertama bagi tahun kewangan 2027 (FY27) memberi isyarat positif, namun keuntungan masa depan bergantung kepada disiplin pengurusan kos.

 

"Econpile memperoleh tender bernilai RM39.5 juta daripada WCT Holdings Berhad bagi melaksanakan kerja asas untuk pembangunan komersial W City OUG di Kuala Lumpur," menurut CGSI dalam notanya.

 

Menurutnya, pembangunan itu merupakan sebahagian daripada projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM626 juta, yang menyokong sasaran pelancaran projek WCT berjumlah RM1.5 bilion bagi FY26.

 

Justeru ujar firma tersebut, subkontrak berkenaan merupakan kemenangan pertama kumpulan itu bagi FY27 dan meningkatkan buku tempahan semasa syarikat mencecah kepada RM664 juta setakat Julai 2026.

 

Artikel berkaitan: Econpile peroleh subkontrak RM39 juta kerja asas projek komersial di Kuala Lumpur daripada WCT

 

Econpile_DagangNews2026

 

CGSI menjangkakan Econpile mampu menyamai pencapaian kontrak baharu FY26 sebanyak RM405 juta, disokong dengan persekitaran kos semakin stabil serta aliran tender yang masih menggalakkan.

 

"Margin keuntungan kasar bagi projek WCT itu dianggarkan sekitar 10%, sejajar dengan projek yang terdahulu memandangkan kebanyakan kontrak diterima adalah berasaskan harga pukal," jelasnya.

 

Unjuran itu membolehkan kumpulan mengurus kos pembinaan secara lebih berkesan, sekali gus membantu bagi mengekalkan margin keuntungan walaupun industri masih berdepan cabaran harga bahan mentah.

 

Selain itu kata CGSI, kedudukan kewangan Econpile kekal kukuh dengan hutang bersih rendah iaitu RM1.7 juta serta aliran tunai operasi yang mantap, dan mampu mengharungi cabaran semasa lebih baik.

 

Justeru, ia mengekalkan saranan 'tambah' dan harga sasaran (TP) 24 sen sesaham kerana menilai saham syarikat masih murah sejak 2022, selepas didagangkan sekitar 0.5 kali daripada nilai buku FY26 

 

"Kami melihat pemangkin utama penarafan semula saham ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi projek Sungai Klang Link, dan pelaksanaan projek infrastruktur yang berskala besar," katanya.

 

Pada masa sama ujar CSGI, penyusutan tekanan kos turut membantu Econpile, manakala kelewatan projek mega dan kenaikan harga bahan mentah kekal sebagai risiko utama syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved