Stesen minyak penuh gara-gara mahu habiskan kuota BUDI95

LocalBusiness & Finance
31 Mar 2026 • 9:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Beberapa stesen minyak di Lembah Klang mengalami peningkatan jumlah kenderaan kerana orang ramai ingin menghabiskan kuota subsidi RON95.
image is not available
Keadaan di salah sebuah stesen minyak menyaksikan pertambahan kenderaan yang ingin mengisi minyak.

SHAH ALAM - Beberapa stesen minyak di Lembah Klang dilaporkan mengalami peningkatan jumlah kenderaan berikutan orang ramai ingin menghabiskan kuota subsidi RON95.

Ini kerana bermula esok, kuota bahan bakar itu telah diselaraskan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan untuk sementara sehingga bekalan RON95 kembali pulih.

Menurut seorang peniaga, Noor Hafiza Che Abdullah, 36, dia mengambil peluang untuk menghabiskan kuota minyak yang berbaki 100 liter lagi.

"Suami saya hubungi saya untuk isi minyak kerana esok kerajaan akan selaraskan kepada 200 liter jadi saya isi penuh minyak dalam kereta," katanya kepada Sinar Harian.

**media[3477783]**

Pada Khamis lalu, kerajaan mengumumkan pelarasan subsidi minyak tersebut berikutan konflik Asia Barat yang mengganggu bekalan minyak dan ekonomi dunia pada masa ini.

Bagaimanapun kerajaan masih mengekalkan harga bagi seliter bahan bakar itu pada kadar RM1.99.

Keputusan itu dibuat kerana berdasarkan kajian dan penelitian penggunaan bahan api tersebut, yang mana 90 peratus menggunakannya kurang dari 200 liter sebulan.

Selain itu, had siling penggunaan BUDI95 bagi e-hailing dan pekerja gig dikekalkan kepada 800 liter sebulan.

Bagi Sabah dan Sarawak pula, diesel subsidi akan terus diberikan pada kadar RM2.15 seliter, meskipun harga pasaran melambung naik.

Bagi mengelakkan ketirisan berlaku, kerajaan turut menghadkan pengisian minyak bagi kenderaan ringan, pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian kepada 50 liter, bagi setiap pembelian.

Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi 3 tan, maksimum 100 liter setiap pembelian dan kenderaan melebihi 3 tan, maksimum 150 liter setiap pembelian.

Sementara itu, kenderaan dengan pendaftaran asing juga tidak dibenarkan untuk membeli minyak RON95 dan hanya boleh membeli minyak RON97.