KOTA BHARU – Cabaran ketirisan subsidi RON95 di negeri sempadan seperti Kelantan mendorong Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperhebat penguatkuasaan di samping menggerakkan rakyat sebagai ‘mata dan telinga’ bagi mengekang kegiatan penyelewengan.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi pendekatan strategik berteraskan konsep 5M dalam memastikan kestabilan bekalan barang kawalan terus terjamin.
“Antara langkah yang akan diambil termasuk larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing yang akan berkuat kuasa Rabu ini, selain kawalan had pengisian diesel.
“Pendekatan turut diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan lain menerusi pelaksanaan Op Tiris 4.0 bagi menutup ruang penyelewengan serta kebocoran barang kawalan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan subsidi negara.
Dalam pada itu, KPDN turut mempergiat penglibatan masyarakat melalui Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) bagi menggalakkan orang ramai tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
“Orang ramai digalakkan bersama-sama membantu kerajaan dengan melaporkan sebarang salah laku atau aktiviti mencurigakan yang boleh menjejaskan bekalan barang kawalan.
“Laporan dan aduan boleh dibuat dengan mudah melalui imbasan kod QR rasmi KPDN,” katanya.

