Stesen Penyimpanan Tenaga Udara Termampat Terbesar Dunia Dibuka Di China

WorldTechnology
6 Mar 2026 • 2:19 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Di Amanz kami kerap melaporkan teknologi janaan kuasa menggunakan nuklear modular, solar, garam cecair, air dan juga perkembangan teknologi pelakuran dunia. Janaan kuasa elektrik menggunakan bahan api fosil tidak mampan dan seperti yang berlaku sekarang, perang boleh menyebabkan bekalan petroleum terhenti. Bagi memastikan sumber tenaga mereka terjamin, sebuah Stesen Penyimpanan Tenaga Udara Termampat (CAES) telah memulakan operasi di Huai’an, China yang juga adalah terbesar di dunia.

image is not available

CAES menyimpan udara pada tekanan tinggi dalam gua garam bawah tanah pada kedalaman 1,150–1,500 m. Ia mempunyai kapasiti 980,000 m³ dengan udara dimampatkan ketika keperluan tenaga adalah rendah. Apabila keperluan tenaga meningkat, udara ini akan dilepaskan dengan dua turbin menjana sehingga 600 MW tenaga elektrik untuk keperluan grid.

Menerusi stesen CAES di Huai’an ini, 792 juta kWh boleh dijana setahun cukup untuk keperluan 600,000 isi rumah dan mengurangkan penggunaan 250,000 tan arang batu serta pelepasan 600,000 tan CO₂ setiap tahun. China kini ialah negara yang menjana tenaga elektrik menggunakan sumber lestari paling tinggi di dunia. Ladang solar dan kincir udara terbesar dunia juga terletak di China.