SEMENYIH - Kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang beroperasi di kawasan semak dan berpagar zink terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa pada Selasa.
Kegiatan itu dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dengan kerjasama Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) serta KPDN Cawangan Kajang hasil maklumat dan risikan.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi juga mengesan sebuah kontena yang dijadikan tempat penginapan pekerja asing, manakala stor tanpa lesen itu beroperasi secara tersorok di kawasan perindustrian.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, Op Tiris 4.0 bermula jam 8 pagi itu berjaya menahan lima lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 40-an disyaki pekerja sindiket terbabit.
Menurutnya, serbuan itu berjaya merampas 325 tong LPG bersaiz 14 kilogram (kg) dan 50 kg dengan jumlah keseluruhan 5,500 kg.
"Bertindak atas maklumat, pasukan operasi KPDN Kuala Lumpur menyerbu satu lagi lokasi di Wangsa Maju dan menahan tiga lelaki iaitu seorang warga tempatan dan dua warga India berusia lingkungan 30-an.
"Lokasi di Wangsa Maju ini berjaya merampas 245 tong LPG berkapasiti 14 kg dan 50 kg berjumlah 3,500 kg," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
**media[3511591]**
Beliau berkata, siasatan awal mendapati tong gas bersubsidi itu diperolehi sindiket daripada pemborong sebelum dibawa ke stor di Semenyih untuk proses 'decanting' (pemindahan) daripada tong 14 kg kepada tong 50 kg.
Katanya, nilai rampasan direkodkan berjumlah RM185,000 dan kegiatan itu menyebabkan kerugian subsidi hampir RM20,000.
Tambah Sabri, KPDN percaya kedua-dua lokasi yang diserbu mempunyai kaitan dan dipercayai dilakukan oleh syarikat pemborong berlesen.
"Sindiket akan mengedarkan semula tong gas LPG ini kepada pihak industri di sekitar ibu negara," ujarnya.
Tegas beliau, KPDN Kuala Lumpur akan mengambil tindakan pembatalan lesen dan perundangan sewajarnya ke atas syarikat terbabit.
"Tindakan hasil risikan dua minggu ini juga akan mengesan siapa pemilik tanah stor terbabit. Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," ujarnya.
Sementara itu, seorang pekerja pemindahan gas terbabit yang ditahan mendakwa ditawarkan untuk bekerja di kilang gas sebelum menyedari kesalahan dilakukan apabila diarahkan melakukan 'decanting'.
"Sebelum ini saya kerja kontrak buat rumah di Pulau Pinang sebelum ditawar kerja kilang gas.
"Masa itu tidak diberitahu bayaran gaji, saya cuma diberi gambar kilang dan lokasi sahaja sebelum datang ke sini (stor Semenyih) menaiki e-hailing bersama beberapa rakan," katanya.
Lelaki Indonesia itu mendakwa melakukan pemindahan 40 hingga 40 tong sehari.
"Setiap hari akan ada lori datang ambil gas-gas (LPG) ini, waktu tak menentu kadang-kadang malam, kadang-kadang pagi," ujarnya.


