
PUTRAJAYA – Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mula disalurkan secara berperingkat bermula hari ini kepada 5.3 juta penerima yang mana menyaksikan peningkatan sebanyak 300,000 penerima berbanding 5 juta pada awal tahun.
Daripada jumlah itu, seramai 3.9 juta penerima merupakan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala 1.4 juta merupakan warga emas tiada pasangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus memastikan bantuan disalurkan kepada rakyat memerlukan berikutan kos sara hidup yang masih menjadi cabaran kepada sebahagian mereka.
“Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian rakyat, kerajaan akan terus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Sebab itu jumlah isi rumah yang menerima STR meningkat daripada 3.7 juta pada awal tahun kepada 3.9 juta bagi Fasa 3,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.
“STR dan Sumbangan Asas Rahmah membantu meringankan keperluan rakyat hari ini, sementara kerajaan terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.
“Matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi memastikan kehidupan rakyat bertambah baik,” tambah beliau.
Untuk maklumat, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion bagi pembayaran Fasa 3.
Bagi Fasa 3 ini, penerima akan menerima bayaran antara RM150 dan RM600, bergantung kepada pendapatan dan bilangan anak, manakala warga emas tiada pasangan akan menerima RM150.
Jumlah keseluruhan STR yang disalurkan bagi tiga fasa tahun 2026 mencecah RM3.6 bilion.
Bergantung kepada kategori kelayakan, penerima boleh menerima bantuan sehingga RM3,300 secara terkumpul setakat Ogos 2026 melalui STR Fasa 1 hingga Fasa 3 serta Sara bulanan.
Kementerian Kewangan berkata, jumlah itu tidak termasuk pemberian one-off Sara untuk Semua kepada semua warga Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.
“Mulai tahun 2026, bantuan kepada rakyat distrukturkan sokongan diterima secara lebih teratur sepanjang tahun.
“STR disalurkan secara suku tahunan, manakala Sara menyediakan bantuan asas secara bulanan kepada penerima yang layak,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post STR Fasa 3 disalur berperingkat hari ini appeared first on Kosmo Digital.






