Strategi pelbagaikan sumber pendapatan berhasil, untung SD Guthrie naik 44% kepada RM1.55 bilion

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 3:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Strategi pelbagaikan sumber pendapatan berhasil, untung SD Guthrie naik 44% kepada RM1.55 bilion Image from: Strategi pelbagaikan sumber pendapatan berhasil, untung SD Guthrie naik 44% kepada RM1.55 bilion liza11/08/2026 - 15:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Strategi SD Guthrie Berhad mempelbagaikan sumber pendapatan daripada hanya bergantung kepada segmen perladangan membuahkan hasil apabila Kumpulan itu mencatat untung bersih RM1.55 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1H FY2026), meningkat 44% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Pertumbuhan keuntungan itu didorong terutama oleh sumbangan lebih kukuh daripada segmen pembangunan industri dan perniagaan hiliran, sekali gus mengimbangi prestasi segmen huluan yang mencatat penurunan keuntungan.

 

Segmen pembangunan industri muncul sebagai antara penyumbang utama apabila merekodkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak RM529 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2Q FY2026).

 

Pada tempoh sama, segmen hiliran menerusi SD Guthrie International (SDGI) turut mencatat peningkatan PBIT sebanyak 8% tahun ke tahun kepada RM136 juta.

 

Perkembangan itu menunjukkan usaha SD Guthrie membina sumber pertumbuhan baharu di luar perniagaan perladangan mula memberi sumbangan ketara kepada prestasi kewangan kumpulan.

 

Keuntungan melonjak walaupun hasil susut

Bagi 1H FY2026, PBIT kumpulan meningkat 31% kepada RM2.12 bilion daripada RM1.62 bilion, manakala hasil turun 4% kepada RM9.63 bilion berbanding RM9.99 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Pada suku kedua sahaja, untung bersih hampir berganda kepada RM987 juta berbanding RM505 juta setahun sebelumnya, manakala PBIT melonjak 63% kepada RM1.31 bilion.

 

Prestasi kukuh itu turut dibantu harga purata minyak sawit mentah (CPO) yang direalisasikan meningkat 3% kepada RM4,283 setan metrik, manakala harga isirung sawit (PK) naik 6% kepada RM3,436 setan metrik.

 

Bagaimanapun, PBIT segmen huluan menurun 5% tahun ke tahun dengan pengeluaran buah tandan segar (FFB) bagi 1H FY2026 susut 2% kepada 4.20 juta tan daripada 4.29 juta tan.

 

Sementara itu, Pengerusi SD Guthrie, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata prestasi itu dicapai walaupun kumpulan berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik, hasil pelaksanaan strategi secara berdisiplin dalam separuh pertama tahun ini.

 

Pembangunan industri terus diperkukuh

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad pula berkata prestasi separuh pertama tahun ini menunjukkan kemajuan transformasi kumpulan menjadi organisasi yang lebih pelbagai dan bersedia menghadapi masa depan.

 

Beliau berkata kumpulan akan terus mengembangkan perniagaan pembangunan industri dan tenaga boleh baharu menerusi kerjasama strategik bagi mewujudkan sumber pertumbuhan baharu serta meningkatkan daya tahan keuntungan.

 

Bagi perniagaan hiliran, SD Guthrie akan terus mempelbagaikan pelanggan dan pasaran selain memanfaatkan skala operasi kumpulan untuk mengoptimumkan kos serta mengukuhkan daya saing.

 

Sementara itu, segmen huluan akan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan pengurusan risiko iklim bagi mengurangkan kesan keadaan cuaca yang tidak menentu.

 

Secara keseluruhan, SD Guthrie kekal positif terhadap prospek tahun kewangan 2026, disokong keadaan pasaran yang menggalakkan, daya tahan operasi dan sumbangan yang semakin kukuh daripada segmen pembangunan industri.

 

Lembaga pengarah SD Guthrie turut meluluskan dividen interim sebanyak 11.18 sen sesaham bagi pemegang saham yang layak pada 21 Oktober 2026 dengan pembayaran dividen itu dijadualkan dibuat pada 4 November 2026.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved