
KUALA LUMPUR: SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) mencatatkan keuntungan bersih melebihi RM1.5 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 44 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi kukuh itu didorong peningkatan keuntungan segmen hiliran selain sumbangan berterusan yang kukuh daripada segmen pembangunan perindustrian, sekali gus membuktikan daya tahan model perniagaannya yang dipelbagaikan.
Bagi suku kedua tahun kewangan 2026, keuntungan bersih SD Guthrie melonjak hampir dua kali ganda kepada RM987 juta berbanding RM505 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu disokong sumbangan ketara segmen Pembangunan Perindustrian yang merekodkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak RM529 juta.
Pengerusi SD Guthrie, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, prestasi yang dicapai dalam tempoh separuh pertama tahun ini mencerminkan pelaksanaan strategi yang berdisiplin meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.
“Keupayaan kepimpinan baharu mengekalkan momentum pertumbuhan yang dibina sejak awal tahun akan membolehkan Guthrie menyampaikan keputusan serta nilai yang sewajarnya kepada para pemegang saham,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd. Haris Mohd. Arshad berkata, prestasi kukuh separuh pertama tahun ini serta sumbangan pendapatan yang berterusan mencerminkan kemajuan transformasi kumpulan ke arah organisasi yang lebih pelbagai dan bersedia menghadapi masa depan.
Katanya, kumpulan akan terus mengembangkan perniagaan Pembangunan Perindustrian dan Tenaga Boleh Baharu menerusi kerjasama strategik.
“Pada masa sama, kami memperkukuh daya tahan pendapatan kumpulan, mewujudkan enjin pertumbuhan baharu dan meletakkan Guthrie pada landasan penciptaan nilai jangka panjang yang mampan,” katanya.
Segmen hiliran kumpulan, SD Guthrie International (SDGI), turut menunjukkan peningkatan apabila PBIT naik lapan peratus tahun ke tahun kepada RM136 juta.
Peningkatan tersebut membantu mengimbangi penurunan lima peratus PBIT segmen Huluan, yang sebahagiannya ditampan oleh harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit yang direalisasikan lebih tinggi masing-masing pada RM4,283 dan RM3,436 setan metrik.
Bagi baki tahun kewangan 2026, SD Guthrie menjangkakan pengetatan bekalan global dan permintaan yang berdaya tahan akan menyokong serta meningkatkan harga CPO dalam tempoh terdekat hingga sederhana.
Tekanan terhadap bekalan dijangka meningkat susulan kemungkinan kemunculan fenomena El Niño menjelang penghujung tahun.
Dari sudut permintaan pula, pasaran dijangka mendapat sokongan daripada pelaksanaan mandat biodiesel B50 Indonesia serta harga minyak mentah yang kekal kukuh susulan ketegangan geopolitik yang kembali meningkat.
Segmen huluan akan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan pengurusan risiko iklim bagi mengurangkan kesan keadaan cuaca buruk. – UTUSAN
The post Untung bersih SD Guthrie melonjak 44% kepada lebih RM1.5 bilion appeared first on Utusan Malaysia.






