Terengganu perluas ekonomi rentas sempadan ke Wilayah Selatan Thailand

LocalBusiness & Finance
24 Jul 2025 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Terengganu perluas ekonomi rentas sempadan ke Wilayah Selatan Thailand

image is not available

24/07/2025 - 18:00

Kunjungan lebih 30 wakil agensi kerajaan negeri dan pusat ke Thailand bertujuan memperluaskan jaringan keusahawanan untuk pasaran serantau Daripada KAMALIZA KAMARUDDIN

PATTANI 24 Julai - Kerajaan Terengganu terus memperluaskan fokus strategik ekonominya di tiga wilayah selatan Thailand, termasuk Songkhla, Hatyai dan Pattani sebagai pintu masuk utama untuk mengembangkan rangkaian perniagaan serantau.

Terbaharu, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) melalui Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) mengadakan kunjungan ke wilayah itu bersama lebih 30 wakil agensi dari negeri dan persekutuan untuk mengeksplorasi potensi kerjasama rentas sempadan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Datuk Ariffin Deraman berkata, kunjungan selama tiga hari itu sejajar dengan pembentukan kluster antara bandar dalam segitiga pertumbuhan Indonesia‑Malaysia‑Thailand (IMT‑GT) yang bertujuan melonjakkan integrasi ekonomi terutama antara negeri-negeri selatan Thailand dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Sebelum ini, usahawan Terengganu telah memanfaatkan platform seperti Malaysia Border Trade Fair di Songkhla untuk mempromosikan produk tradisional dan kraftangan berkualiti tinggi kepada pasaran Thailand dan Indochina.

"Kejayaan mereka membuka ruang eksport baru dan meningkatkan pengiktirafan jenama tempatan, membuktikan potensi besar produk negeri ke pasaran serantau.

"Selain itu, YPU juga telah meneroka pasaran Indochina menerusi kerjasama Asean Mall, menyediakan bantuan teknikal seperti pelabelan, pembungkusan, barcode serta sokongan mendapatkan sijil halal dan GMP/HACC yang penting bagi memenuhi piawaian eksport," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

image is not available
Pengerusi Jawatankuasa, Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Datuk Ariffin Deraman (dua dari kanan) melihat pembuatan kopiah di kilang milik usahawan Pattani, Thailand hari ini

image is not available

image is not available

Enam sesi utama akan diadakan sepanjang lawatan, termasuk lawatan tapak ke premis perniagaan, sesi padanan perniagaan, serta rundingan formal antara wakil Malaysia dan usahawan Thailand.

Tujuan sesi padanan dan lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan langsung mengenai prosedur import & eksport, logistik, serta operasi harian yang melibatkan pasaran rentas sempadan.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, hubungan perniagaan jangka panjang dengan negara jiran adalah elemen penting untuk pembangunan Perindustrian Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Terengganu.

"Dalam konteks global yang semakin kompetitif, usahawan Terengganu kini diberi pendedahan langsung kepada mekanisme perniagaan rentas sempadan, logistik serantau, dan kaedah pemasaran terbukti.

"Kolaborasi ini turut memberi peluang kepada usahawan dalam sektor pelancongan untuk memperkenalkan pakej persinggahan rentas sempadan di wilayah Pattani dan Hatyai.

"YPU dan PEUTER turut menyediakan sokongan sambilan dalam bentuk pembiayaan mikro dan latihan lanjutan kepada peserta yang menunjukkan komitmen untuk mengeksport dan berkembang di pasaran luar negara," katanya.

Keseluruhan inisiatif ini sejajar dengan strategi negeri Terengganu yang mahu mewujudkan ekosistem PKS yang berdaya saing dan berdaya tahan melalui kerjasama serantau.- DagangNews.com

featured standard