Strategi promosi Tawau sebagai destinasi wajib

25 Feb 2023 • 12:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Strategi yang disusun dengan teliti diperlukan untuk mempromosikan Tawau sebagai destinasi wajib dikunjungi di pantai timur Sabah, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata Tawau mempunyai sejumlah besar potensi pelancongan yang belum diterokai dan tidak seharusnya hanya berfungsi sebagai tempat laluan bagi pelancong yang lazimnya terbang ke Tawau untuk melawat Semporna.

“Saya mesti katakan bahawa setiap kali kami menghadiri jerayawara (pelancongan), nampaknya sentiasa ada minat yang besar terhadap Semporna, sementara Tawau terlepas pandang.

“Oleh itu, Tawau perlu mengembangkan tarikannya, dan kita perlu merangka pelan strategik untuk menggalakkan pelancong tinggal dan meneroka semua yang Tawau tawarkan,” katanya.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata demikian selepas melawat tarikan Batu Bersusun dan Tagal Kampung Balung Cocos, di sini, Jumaat.

Beliau diiringi oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Mary Malangking, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jimit dan Presiden Persekutuan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS) Walter Kandayon, yang juga ahli lembaga pengarah STB.

Joniston berada di sini dalam lawatan kerja rasmi untuk kemaskini produk pelancongan dan meninjau penambahbaikan kemudahan yang dibiayai oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah di bawah Program Pembangunan Pelancongan Luar Bandar.

Selain itu, beliau turut diberi taklimat mengenai potensi Tawau untuk membangunkan pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Politeknik Tawau.

Pengarah Politeknik Tawau, Dr Hajah Nor Haniza B. Mohamad berkata pihaknya telah mengenal pasti Kampung Tinagat, Kampung Batu Payung dan Kampung Membalua sebagai kampung berpotensi untuk CoBT.

Beliau berkata penduduk di tempat-tempat ini telah menyatakan bahawa mereka bersedia untuk mempromosikan kampung mereka sebagai tarikan pelancongan, sambil menambah penduduk sangat bersetuju bahawa pelancongan akan meningkatkan sumber pendapatan mereka.

“Kami sedia menyokong (KePKAS dan STB), terutamanya dalam latihan dan untuk membangunkan CoBT di Tawau,” katanya.

Sehubungan itu, Joniston menggalakkan Politeknik Tawau dan pihak berkaitan untuk melakukan libat urus dengan FeRTAS dan belajar daripada kisah kejayaan CoBT yang sudah mantap.

Turut hadir, jurutera Majlis Perbandaran Tawau Mohd Ikhsan Wahap; Pengerusi Persatuan Pelancongan Tawau Hazlina Ismail; Pengerusi Tagal Kampung Balung Cocos Rasid Medical; dan Ketua Kampung Balung Cocos Takun Austin, antara lain.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.