PERASAN TAK, BILA STRES MULUT MUDAH NAIK ULSER?
Perasan tak, bila nak dekat exam, kerja bertimbun, banyak benda nak fikir atau tengah melalui fasa hidup yang sangat stressful…
Tiba-tiba mulut naik ulser!
Mula-mula kecil sahaja. Lama-lama makin pedih. Nak makan sakit, nak minum sakit, terkena ubat gigi pun boleh sampai berair mata.
.
Kenapa setiap kali stres, mulut pula yang jadi mangsa?
Sebenarnya, stres merupakan salah satu pencetus ulser mulut berulang, atau dikenali sebagai aphthous ulcer.
Apabila kita mengalami stres, perubahan hormon dan tindak balas sistem imun boleh mempengaruhi proses keradangan pada lapisan dalam mulut.
Bagi individu yang memang mudah mendapat ulser, keadaan ini boleh mencetuskan kemunculan ulser baharu.
Lebih-lebih lagi apabila stres menyebabkan tidur tidak cukup dan badan keletihan.
.
Namun, bukan semua ulser berpunca daripada stres.
Ada juga yang disebabkan oleh kecederaan akibat tergigit pipi, kekurangan zat besi, vitamin B12 atau folat. Faktor genetik juga memainkan peranan.
.
Berapa lama ulser biasanya sembuh?
Kebanyakan ulser kecil akan sembuh sendiri dalam tempoh 7 hingga 14 hari.
Sementara menunggu sembuh, elakkan makanan terlalu pedas atau berasid yang boleh menyebabkan ulser semakin pedih. Gunakan berus gigi lembut dan pastikan pengambilan air mencukupi.
.
TAPI, INI YANG RAMAI TERLEPAS PANDANG.
Jangan anggap semua ulser yang muncul ketika stres adalah ulser biasa.
Jika ulser tidak menunjukkan tanda sembuh selepas dua minggu, terlalu besar, kerap berulang atau menyebabkan kesukaran makan dan minum, dapatkan pemeriksaan.
Ulser yang tidak sembuh selepas tiga minggu WAJIB diperiksa oleh doktor atau doktor gigi.
.
Ini kerana ulser yang tidak sembuh juga boleh menjadi salah satu tanda awal kanser mulut.
Kadangkala, apabila fikiran terlalu sarat dengan tekanan, tubuh juga menunjukkan tanda-tandanya.
Tetapi jangan sampai kita terlalu sibuk menyalahkan stres sehingga terlepas pandang masalah kesihatan yang lebih serius.
Public Health Malaysia
Public Health M'sia (publichealthmalaysia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.





