Strok haba: Penganjur larian ikut SOP - Exco

4 May 2026 • 4:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Strok haba: Penganjur larian ikut SOP - Exco
Daniel (tiga dari kanan) menerima cenderahati daripada pihak 2026 Top Ten Outstanding Penang Award di Komtar pada Isnin.

GEORGE TOWN - Penganjur acara larian berbukit di Pulau Pinang disahkan telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk menyediakan pasukan perubatan dan stesen air mencukupi.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pujian harus diberikan kepada pihak penganjur kerana bertindak pantas apabila peserta menunjukkan tanda-tanda tidak sihat.

Menurutnya, mangsa merupakan lelaki berusia 42 tahun dari Tampin, Negeri Sembilan yang menyertai kategori larian sejauh 30 kilometer dalam acara tersebut.

“Penganjur sebenarnya telah mematuhi semua SOP yang ditetapkan termasuk penyediaan pasukan perubatan sepanjang laluan dan stesen pengisian air.

“Malah sebelum mangsa rebah, pasukan perubatan telah mengesannya dalam keadaan tidak sihat dan terus memberikan bantuan serta menghantarnya ke hospital,” katanya pada sidang akhbar mengenai 2026 Top Ten Outstanding Penang Awards di Komtar pada Isnin.

Menurut Daniel, walaupun kejadian itu berakhir dengan kematian, tindakan segera penganjur menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang baik dalam mengurus kecemasan.

“Ini membuktikan bahawa keperluan menyediakan pasukan perubatan dalam setiap acara sukan adalah penting dan ia merupakan antara syarat utama untuk mendapatkan kelulusan kerajaan negeri.

"Penganjur telah pun menyerahkan laporan mengenai insiden tersebut kepada kita," katanya.

Tambah beliau, setakat ini, tahap liputan paramedik bagi acara sukan di Pulau Pinang adalah mencukupi berdasarkan pemantauan semasa.

“Buat masa ini, kita melihat penyediaan pasukan perubatan adalah mencukupi.

"Namun, kita menggalakkan penganjur untuk sentiasa menilai dan menambah baik aspek keselamatan, termasuk menambah stesen air bagi memastikan peserta kekal terhidrat,” katanya.

Dalam pada itu, Daniel menjelaskan bahawa faktor jenis acara juga memainkan peranan terhadap risiko kesihatan peserta.

Katanya, acara larian tersebut bermula seawal pagi dan melibatkan beberapa kategori jarak berbeza termasuk 50 kilometer (km), 30km, 20km dan 10km dengan waktu pelepasan serta had masa berbeza.

“Bagi acara jarak jauh seperti 'trail run', ia berbeza dengan marathon biasa kerana laluan dan tempoh masa yang lebih mencabar.

“Walaupun kategori 50km tidak mencatatkan sebarang insiden mangsa yang menyertai kategori 30km berkemungkinan mempunyai faktor kesihatan dalaman,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini hanya satu kes strok haba direkodkan melibatkan acara sukan di negeri itu.

“Ini adalah kes pertama di Pulau Pinang dan tiada kes lain yang direkodkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP),” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya peserta acara sukan supaya sentiasa peka terhadap tahap kesihatan diri dan tidak memaksa diri melebihi kemampuan.

“Kita nasihatkan supaya kurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas, minum air secukupnya dan elakkan pakaian berwarna gelap.

“Paling penting, kenali had diri sendiri. Jika tidak sihat, segera maklumkan kepada penganjur atau pasukan perubatan,” katanya.

Terdahulu, seorang lelaki tempatan dilaporkan meninggal dunia disebabkan strok haba yang dilaporkan pada 26 April, selepas mangsa menyertai satu acara larian kategori sejauh 30km di bandar raya ini.

JKNPP memaklumkan kes membabitkan lelaki merupakan kes pertama penyakit berkaitan cuaca panas yang direkodkan di Pulau Pinang bagi tahun 2026.

Lelaki itu menyertai satu acara larian di George Town sejauh 30 kilometer yang bermula 6.30 pagi 25 April dan laluan larian tersebut turut melibatkan trek berbukit melalui kawasan hutan yang mana, kira-kira 4 petang, mangsa dilaporkan pengsan berhampiran garisan penamat.

Mangsa telah diberikan rawatan kecemasan di lokasi sebelum dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang (HPP) dalam keadaan kritikal sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU namun disahkan meninggal dunia pada 2.08 pagi 26 April lalu.