Studio RM1 Juta Rosak, Stuntman Terbakar, Abang Long Fadil 3 Buat Pengarah Menangis

Movie
3 Aug 2022 • 2:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Abang Long Fadil 3 bakal menggegarkan pawagam Malaysia, Singapura, Brunei bermula 8 September ini. - Gambar ihsan Astro Shaw

Air mata pengarah Abang Long Fadil 3, Syafiq Yusof tumpah semasa diminta menceritakan perasaannya untuk menyiapkan naskhah filem terkininya itu. 

Dalam sesi sidang media filem itu semalam, Syafiq mengakui penat dan sangat mencabar menyempurnakan naskah yang menjadi perhatian ramai apalagi Abang Long Fadil 2 sebelum ini memberi tanda aras yang tinggi dengan kutipan lebih daripada RM18 juta semasa ditayangkan pada tahun 2017.

“Buat filem bukan perkara yang mudah. Saya akui saya seorang slow learner. Tapi saya buat sehabis baik yang saya mampu. 

“Orang mungkin hanya nampak apa yang berlaku di hadapan. Tapi orang tak tahu apa sebenarnya yang terjadi di belakang. 

“Saya boleh katakan sangat penat menyiapkan filem ini namun kita semua sudah berusaha semampunya,” katanya ketika ditemui Getaran. 

image is not available
Zizan Razak - Gambar ihsan Astro Shaw

Menjadi pemain utama filem siri Abang Long ini, Pelakon Zizan Razak turut merasakan adegan aksi untuk sekuel ini jauh lebih mencabar berbanding siri kedua sebelum ini. 

“Apa yang boleh saya katakan, aksi dalam  filem ini adalah yang paling dahsyat dan menonjol berbanding siri sebelum  ini. 

“Cedera dan terseliuh memang dah biasa semasa penggambaran. Kita juga siap ada babak letupan bom. Studio yang bernilai sejuta ringgit yang dibuat khas untuk filem ini pun terbakar akibat letupan. Namun mereka set up semula hari berikutnya,” cerita Zizan. 

image is not available
Barisan pelakon Abang Long Fadil 3. - Gambar ihsan Astro Shaw

Masih hijau semasa berlakon dalam filem ini, Elizabeth Tan pula mengakui banyak melakukan latihan apalagi bergandingan dengan nama besar seperti Zizan Razak, Maya Karin, Datuk Ac Mizal dan lain-lain.

“Saya sebenarnya sudah lama mengimpikan watak ala-ala perisik. Kali ini saya dapat peluang itu. Memandangkan semasa penggambaran dilakukan saya masih sangat baru dalam bidang lakonan. Jadi nampak kayu sangat. Saya banyak kali buat latihan sebelum penggambaran.

“Babak letupan bom yang paling saya takut dan risau. Saya ingat lagi pengarah kata saya kena lari selaju mungkin sebab kita tak tahu apa yang akan terjadi selepas itu. Tambahan pula sebelum itu ada seorang stuntman kita terbakar di bahagian tangan. Perkara itu mungkin boleh juga berlaku kepada saya. 

“Badan saya juga ada lebam-lebam sebab melakonkan aksi dalam filem ini. Namun ada beberapa babak yang kita gunakan stuntman seperti babak saya bawa motor,” tambahnya. 

image is not available
Syafiq Yusof dan Yusof Haslam - Gambar ihsan Astro Shaw

Berpuas hati dengan hasil filem ini, Abang Long Fadil 3 diharap dapat mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap kualiti filem tempatan apalagi selepas ia ditangguhkan berkali-kali tayangannya akibat pandemik. 

“Saya tidak berani meletakkan apa-apa sasaran kutipan. Saya berharap agar cerita ini boleh memberikan senyuman dan kegembiraan kepada yang menontonnya,” kata Syafiq sebelum mengakhiri temu ramah. 

Sekuel Abang Long Fadil 3 bakal menggegarkan pawagam Malaysia, Singapura, Brunei  bermula 8 September depan. - Getaran, 3 Ogos 2022