
JAKARTA – Misteri kehilangan seorang wanita dan anak lelakinya yang berasal dari Bogor, wilayah Jawa Barat sejak bulan lalu akhirnya terjawab dengan penemuan menyayat hati apabila kedua-duanya dipercayai dibunuh dengan kejam oleh suami mangsa sendiri, lapor laman berita Kumparan.
Mangsa dikenali sebagai Dini Hardiyanti, 30, dan anak lelakinya berumur empat tahun, dilaporkan hilang oleh ahli keluarga sejak 20 September lalu selepas mereka gagal dihubungi.
Pengarah Siasatan Jenayah Polis Daerah Jawa Timur, Pesuruhjaya Kanan Roy H. M. Sihombing berkata, suspek yang dikenali sebagai Dwi Bagus Martono ditahan semalam.
Menurut Roy, siasatan awal mendapati jenayah tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek di sebuah bilik hotel di Madiun.
“Hasil siasatan mendapati kejadian ini sangat kejam, suspek bertindak membunuh isterinya terlebih dahulu di dalam bilik hotel sebelum membunuh anak mangsa.
“Bagi menghapuskan bukti jenayah, suspek membakar mayat kedua-dua mangsa di halaman belakang rumahnya sebelum memasukkan cebisan mayat ke dalam mesin pengisar daging.
“Mayat tersebut kemudian dibakar sekali lagi dan suspek merancang untuk membuang sisanya ke dalam laut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Polis merampas beberapa bahan bukti dan sedang giat mengumpul sisa tulang mangsa yang masih tertinggal. – AGENSI
The post Suami bakar, kisar mayat isteri dan anak appeared first on Kosmo Online.

