Suami Isteri Dera Anak Angkat Hingga Maut Ditahan Polis

11 Jun 2024 • 2:43 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pasangan suami isteri yang didakwa mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun sehingga menyebabkan kematian ditahan oleh pihak polis, pada Isnin.

Menerusi laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abang Ahmad memaklumkan pihaknya telah menerima laporan mengenai perkara itu setelah kanak-kanak terbabit dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar 9.45 pagi, semalam.

image is not available

Foto: Bernama

Namun, mangsa yang juga merupakan anak angkat kepada pasangan itu disahkan meninggal dunia selain terdapat kesan pukul pada seluruh anggota badan mangsa serta luka akibat koyakan di bahagian saluran peranakan dan duburnya.

“Mangsa dipercayai merupakan anak angkat kepada seorang wanita berusia 27 tahun dan lelaki (66 tahun) yang telah diberkas semalam, suspek merupakan pasangan suami isteri,” katanya hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek dibuat di Mahkamah Ipoh hari ini dan ia akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.

image is not available

 

Foto: Kosmo! Online

Susulan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 atau terus ke mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Bernama