Suami isteri ditemukan meninggal dunia di rumah

2 Jan 2024 • 8:46 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Sepasang suami isteri ditemukan meninggal dunia di rumah mereka di kondominium Jalan Keliling dekat sini pada tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Arifai Tarawe berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 12.49 tengah hari.

Beliau berkata mangsa lelaki, 34, yang juga warga asing, merupakan tenaga pengajar di sebuah sekolah antarabangsa di Port Dickson manakala isterinya, warga tempatan berusia 31 tahun, adalah doktor di sebuah klinik pergigian di Linggi.

“Siasatan di tempat kejadian dan pemeriksaan tubuh badan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat pasangan berkenaan dihantar ke bahagian forensik Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 012-770 7282 atau Ibu Pejabat Daerah Seremban di 06- 6033 222. -Bernama