Suami Isteri Maut Ketika Hadiri Majlis Konvo Anak: “Sepatutnya Mak Ayah Tengok Saya Di Pentas Konvokesyen” – Graduan UMK

4 Nov 2026 • 9:39 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Suami Isteri Maut Ketika Hadiri Majlis Konvo Anak: “Sepatutnya Mak Ayah Tengok Saya Di Pentas Konvokesyen” – Graduan UMK

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada Isnin (2 Nov) lalu, sepasang suami isteri maut manakala seorang anak mereka parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki mangsa terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas persiaran.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.40 tengahari di Lebuh Raya Timur Barat (LBRT) Gerik-Jeli berhampiran Banjaran Titiwangsa, Abd Halim Bakar (64) dan isteri, Siti Sara Abd Rahman meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelaki mereka, Mohamad Syazwan Hakimi (28) cedera parah.

Apa yang lebih menyedihkan, tiga beranak terbabit sedang dalam perjalanan menghadiri istiadat konvokesyen ahli keluarga mereka yang dijadualkan berlangsung pada Selasa (3 Disember) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Anak Dedah Abang Sempat Buat Panggilan Video 20 Minit Sebelum Nahas

Semalam (3 Disember), anak kepada pasangan suami isteri itu yang juga Graduan Ijazah Sarjana Muda Logistik Perdagangan dan Pengedaran, Husna Syakira Abd Halim meluahkan rasa pilu dengan pemergian ibu bapa tercinta.

“Sepatutnya mak ayah tengok saya di pentas konvokesyen tetapi saya yang kena tengok mereka masuk liang lahad,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Apa yang lebih memilukan, abangnya sempat membuat panggilan video kira-kira 20 minit sebelum insiden terbabit menunjukkan kedua-dua ibu bapanya teruja untuk meraikan kejayaan Husna.

“Sebelum kejadian, abang call dalam pukul 1.20 petang, masa tu depa (mereka) berhenti dekat Hentian Rehat dan Rawat Banjaran Titiwangsa tanya makanan dah sedia ke atas meja, saya jawab baru nak pergi beli.

“Dia halakan telefon kepada emak saya dan saya nampak muka emak saya bercahaya dan bersinar. Mereka gelak-gelak, itu last saya hubungi depa,” kongsinya.

Ayah Bawa Kamera Baharu, Ibu Beli Persalinan Baharu

Jelas Husna lagi, dia baru sahaja selesai membeli kasut untuk dipakai ketika hari konvokesyen sewaktu menerima panggilan daripada kakaknya yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Saya sewa homestay dan masa tu depa menuju ke homestay la. Semalam, ayah bawa kamera dia baru beli sebab nak record saya masa atas pentas terima ijazah tapi saya tengok kamera digital tu dah rosak dan patah.

“Mak sanggup belikan baju baru, kasut baru untuk tengok saya konvo tapi bila tengok ada kesan darah, saya sedih,” katanya.

Jenazah Ibu Bapa Selamat Dikebumikan, Abang Dirawat Di Hospital Taiping

Jenazah pasangan suami isteri terbabit selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid As Syakirin, Kampung Singkir laut, Yan, Kedah kira-kira jam 6 petang semalam (3 Disember)

Jenazah pasangan itu tiba di rumah mereka di kira-kira jam 2 petang selepas dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Gerik.

Manakala, anak lelaki mereka yang dilaporkan parah kini sedang menerima rawatan di Hospital Taiping.

UMK Peruntuk Wang Tunai RM2,000 Untuk Keluarga Mangsa

Dalam pada itu, UMK telah menghulurkan bantuan kewangan dana sokongan kebajikan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban.

Menurut Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Mohd Badrul Hisyam Muhammad Alias, pihaknya telah memperuntukkan wang tunai berjumlah RM2,000 buat Husna Syakirah.

Jelasnya, bantuan itu telahpun disalurkan kepada pihak berkaitan untuk meringankan beban keluarga mangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam satu hantaran di Facebook turut menzahirkan ucapan takziah kepada Husna Syakira atas pemergian insan tersayang.

Baca Artikel Berkaitan: Graduan Reda, Dapat Berita Pemergian Ayah Tersayang 3 Jam Sebelum Majlis Konvokesyen [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Minta Jurufoto Sunting Gambar Graduasi Bersama Arwah Ibu & Ayah Undang Sebak [Video]

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved