Suami isteri maut tersepit dalam nahas dua kereta di Bentong

10 Dec 2025 • 10:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kereta Mercedes Benz yang dinaiki lelaki berusia 40 tahun remuk teruk akibat kemalangan itu. Foto Bomba Pahang.
image is not available
Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Foto Bomba Pahang.
image is not available
Pasangan suami isteri maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kampung Ketari pada Rabu. Foto Bomba Pahang.

BENTONG - Pasangan suami isteri maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kampung Ketari, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, Kilometer 4 Jalan Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Mangsa maut ialah penumpang hadapan Proton Iswara, Mohammad Nazri Salleh dan penumpang tempat duduk belakang Karmilawati Muhamad Yaakob yang masing-masing berusia 51 tahun.

Pemandu Proton Iswara iaitu Naimzuhari Mohamad Nazri, 23, pula cedera parah, manakala pemandu kereta Mercedes Benz yang berusia 40 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

**media[3368043]**

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.19 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati Proton Iswara dinaiki tiga mangsa, dua daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang mengalami kecederaan parah.

"Kesemua mangsa dalam Proton Iswara tersepit akibat perlanggaran tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

**media[3368042]**

Beliau berkata, pasukan bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Dua mangsa maut disahkan oleh pegawai perubatan manakala mangsa cedera dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan,” katanya.