
KENINGAU: Sepasang suami isteri melecur dalam kebakaran di Kampung Tudan Baru, dekat sini, lebih kurang jam 7 malam Jumaat.
Dalam kejadian itu, suami yang berumur 43 tahun melecur di bahagian tangan sebelah kiri, manakala isterinya, 42, melecur di bahagian dahi.
Menurut pegawai bertugas Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, JBPM menerima panggilan pada jam kira-kira 7.24 malam melalui talian MERS999.
Katanya, 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Keningau diketuai oleh Komander Operasi PBK I Norhasrita binti Manan, dikerah ke lokasi tujuh kilometer dari balai dan tiba pada jam 7.37 malam.
Mereka dibantu lima anggota polis, dua kakitangan Sabah Electricity dan tiga anggota Rela.
Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua rumah separuh kekal yang musnah 100 peratus.
Pasukan bomba bertindak melakukan pemadaman menggunakan dua aliran 100 kaki, tiga pancutan dengan sumber air dari jentera dan lori tangki.
Suami isteri dari salah satu rumah itu dihantar ke hospital dengan kenderaan EMRS.
Operasi dikawal pada jam 8.05 dan ditamatkan pada 9.42 malam.

