Suami isteri pengasas eHati, anak antara 6 direman 3 hari

LocalPolitics
16 Jul 2025 • 2:44 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Enam individu termasuk suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga eHati, anak mereka serta tiga individu lain direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Majistret Ameera Mastura Khamis mengeluarkan perintah reman selepas semua suspek terdiri empat wanita dan dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

Semua individu berusia 26 hingga 57 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan seseorang; Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu berkelakuan tidak senonoh dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Mereka tiba di mahkamah pada jam 11 pagi tadi bagi permohonan reman.

Semalam, peguam Datuk M Reza Hassan, berkata beliau mewakili empat individu iaitu pasangan suami isteri pengasas syarikat berkenaan bersama anaknya dan seorang peserta program terbabit.

"Pihak kami memfailkan permohonan mengkaji semula keputusan Majistret yang membenarkan reman selama tiga hari.

"Salah seorang anak guam saya sudah mengemukakan laporan perubatan kerana tidak sihat, namun tidak diterima mahkamah, sebab itu kami memfailkan permohonan mengkaji semula keputusan itu," katanya ketika ditemui selepas proses reman di mahkamah lapor BH.

Semalam, pasangan pengasas itu ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Kedua-dua mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam selepas memberi keterangan di IPD Petaling Jaya.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dilaporkan meminta Jabatan Agama Islam Selangor menyiasat dakwaan aktiviti tidak bermoral yang berlaku semasa penganjuran program eHati di sebuah pusat konvensyen. - 16 Julai, 2025