
DUNGUN – Pasangan suami isteri yang disyaki giat melakukan aktiviti penipuan atau ‘scammer’ dengan menyamar sebagai pegawai kerajaan dan polis akhirnya berjaya masuk perangkap diberkas polis di rumah salah seorang mangsanya di daerah ini semalam.
Mereka ditangkap sekumpulan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis sewaktu dikatakan mahu mengambil wang tunai RM50,000
di rumah mangsa yang telah diperdaya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, sebelum ini, kedua-dua suspek telah memperdaya mangsa yang merupakan wanita berusia 62 tahun untuk menyerahkan dua utas gelang tangan bernilai keseluruhan RM17,000 pada 4 November lalu.
“Siasatan awal mendapati pada mulanya, mangsa telah dihubungi individu tidak dikenali disyaki berkaitan dengan dua suspek ini mengaku kononnya pegawai sebuah syarikat utiliti pada 3 November lalu.
“Suspek mendakwa kononnya wanita warga emas berkenaan mempunyai tunggakan bil elektrik di sebuah premis di Kuantan, Pahang sebelum panggilan disambung pula kepada suspek lain mengaku kononnya pegawai polis,” katanya di sini hari ini.
Nik Ab. Halim berkata, mangsa didakwa pula kononnya butiran peribadinya telah disalahguna untuk aktiviti pengubahan wang haram sebelum diarahkan untuk menyerahkan barangan kemas kononnya bagi tujuan penyiasatan.
Beliau berkata, barangan kemas yang diletakkan di dalam peti surat rumah wanita warga emas itu kemudiannya diambil individu tidak dikenali disyaki mempunyai kaitan dengan dua suspek pada keesokan harinya.
“Suami isteri tersebut terus mahu memperdaya mangsa dengan meminta wang tunai RM50,000 pula, namun cubaan kali ini gagal apabila berjaya ditangkap dengan bantuan penduduk kampung semalam,” katanya. – KOSMO! ONLIN
The post Suami isteri ‘scammer’ dicekup penduduk kampung appeared first on Kosmo Online.





