
SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 114.5, Lebuhraya Utara-Selatan, tengahari tadi.
Mangsa, Suhaimi Saidin, 64, yang merupakan pesara polis dan isterinya, Normah Hashim, 60, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari apabila kereta Perodua Bezza dipandu seorang wanita secara tiba-tiba memasuki laluan kiri dari laluan kecemasan selepas menukar pemandu.
“Dua buah motosikal yang mengekori dari belakang masing-masing jenis Yamaha XMAX dinaiki mangsa serta sebuah lagi jenis XDV 180 EVO dinaiki dua remaja lelaki tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kereta itu.
“Rempuhan menyebabkan pasangan suami isteri terbabit melambung dan terjatuh di sebelah kanan laluan, manakala remaja berumur 18 yang menunggang motosikal parah dan pemboncengnya berusia 15 tahun cedera ringan,” katanya.
Kata Hanyan, pemandu wanita terbabit dan suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat suami isteri dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat, sementara dua remaja terbabit turut diberikan rawatan di hospital sama,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami masalah enjin.
“Kejadian berlaku di susur keluar Plaza Tol Sungai Petani Selatan pada pukul 9.52 pagi melibatkan seorang juruteknik kilang yang juga maut di tempat kejadian.
“Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Pulau Pinang ke rumahnya di Tebengau, Alor Setar,“ katanya. – UTUSAN
The post Pesara polis, isteri antara tiga maut kemalangan appeared first on Utusan Malaysia.






