
KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri terkejut apabila bayi perempuan mereka didakwa tertukar dengan seorang bayi lelaki ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Lebih mengejutkan, kedua-dua bayi yang tertukar itu didapati memakai tag nama ibu kepada bayi perempuan berkenaan.
Menceritakan kejadian tersebut, bapa bayi tersebut, Muhammad Harraz Haziq, 24, berkata, insiden bermula apabila isterinya selamat melahirkan anak perempuan mereka pada 7 April, sebelum bayi itu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Menurutnya, bayi mereka sepatutnya dibenarkan pulang pada 8 April, namun terpaksa ditahan di wad selepas disahkan menghidap jaundis.
“Pada malam 8 April, jururawat datang mengambil bayi kami untuk menjalani ujian darah. Kira-kira jam 5 pagi keesokan harinya, jururawat memulangkan bayi itu dan meletakkannya di dalam inkubator.
“Bagaimanapun, pada jam 6 pagi, isteri saya mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena dan terkejut apabila mendapati bayi yang diberikan kepadanya adalah bayi lelaki, bukannya anak perempuan kami,” katanya, seperti dilaporkan Harian Metro.
Muhammad Harraz mendakwa, jururawat bertugas seolah-olah meragui kenyataannya dan mempertikaikan jantina sebenar anak merek, apabila beliau membangkitkan perkara itu.
“Mereka (jururawat) mempertikaikannya dan bertanya semula sama ada benar anak saya perempuan. Mujur saya bertindak awal dengan mengambil gambar borang pengesahan kelahiran ketika isteri baru sahaja bersalin sebagai bukti.
“Anak perempuan saya akhirnya ditemui pada hari yang sama (9 April). Namun, apa yang paling mengejutkan saya ialah bagaimana kedua-dua bayi boleh memakai tag nama isteri saya,” katanya.
Kecewa dengan kejadian yang disifatkan sebagai kecuaian serius itu, bapa muda berkenaan cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada pasukan perubatan terlibat, namun mendakwa masing-masing seolah-olah cuba mengelak daripada memberikan penjelasan.
Malah, usahanya menghubungi doktor yang bertanggungjawab bagi mendapatkan penjelasan juga menemui jalan buntu.
Susulan kegagalan pihak hospital memberikan jawapan yang meyakinkan, Muhammad Harraz membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 10 April untuk tindakan lanjut.
“Saya tampil bersuara kerana mahu penjelasan telus daripada pengurusan hospital. Bagaimana kecuaian dalam prosedur operasi standard (SOP) seperti ini boleh berlaku di hospital kerajaan?
“Saya tidak mahu perkara traumatik seperti ini berlaku kepada ibu bapa lain di luar sana,” katanya. – Getaran, 14 Mei 2026






