KUALA LUMPUR – Seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan pasangan suami isteri di Jalan Ampang di sini pada 2 Mei lalu akan didakwa atas tuduhan membunuh di mahkamah esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan hari ini berkata, lelaki berusia 24 tahun itu akan menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek dilaporkan direman selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 Mei lalu sebelum disambung lima hari lagi hingga esok.
Dalam kejadian pada jam 5.34 pagi itu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 61 dan 56 tahun maut di lokasi kejadian selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios dari belakang.
Polis turut menjalankan ujian toksikologi terhadap sampel darah dan air kencing suspek bagi mengenal pasti sama ada lelaki itu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, namun masih menunggu keputusan makmal. – Bernama





