Suami Isteri Warga Tempatan Disyaki Bekal Senjata Kepada Lelaki Israel Direman Tujuh Hari

30 Mar 2024 • 3:16 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Suami Isteri Warga Tempatan Disyaki Bekal Senjata Kepada Lelaki Israel Direman Tujuh Hari

Sepasang suami isteri yang ditahan di Kuala Selangor kerana disyaki membekalkan senjata api kepada warga Israel telah ditahan reman selama seminggu, bermula hari ini.

Menurut laporan Sinar Harian, reman bagi kedua-dua suspek warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun bagi tindakan di bawah Akta Senjata 1960.

Perkara berkenaan disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi oleh portal berita terbabit.

“Pasangan itu direman tujuh hari dan siasatan masih dijalankan pihak polis,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian pada Sabtu.

Suami isteri disyaki bekal senjata kepada lelaki Israel direman seminggu

Terdahulu, kedua-dua suspek ditahan di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, kira-kira 7.15 malam pada Jumaat.

Berdasarkan maklumat daripada pasangan tersebut, pihak polis kemudian menyerbu kediaman suspek di Kuala Selangor dan menemui sepucuk pistol dalam kereta jenis Honda Jazz.

Menurut laporan Sinar Harian lagi, suspek mendakwa telah membeli senjata di Thailand sebelum diserahkan kepada seorang lelaki warga asing dipercayai rakyat Israel.

Sebelum ini, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan penahanan suspek warga Israel berusia 36 tahun di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu.

Semasa ditahan, pihak polis turut menemui enam pistol termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru.

Miliki dua pasport, masuk Malaysia dari UAE

Selain itu, suspek turut memilik dua pasport iaitu pasport Perancis yang digunakan untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu. Satu lagi pasport adalah pasport Israel.

Semasa disoal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang merupakan rakyat negaranya untuk dibunuh.

Suspek turut memberitahu ia berkaitan dengan isu keluarga, namun begitu pihak polis tidak mempercayai dakwaan tersebut.

Sumber: Sinar Harian