Suami juga boleh jadi mangsa keganasan rumah tangga - JKM Kelantan

LocalFamily & Parenting
13 Oct 2026 • 10:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Suami juga boleh jadi mangsa keganasan rumah tangga - JKM Kelantan
Keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan suami terhadap isteri, malah boleh berlaku terhadap suami oleh isteri atau ahli keluarga lain

KOTA BHARU - Keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan suami terhadap isteri, malah boleh berlaku terhadap suami oleh isteri atau ahli keluarga lain, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh.

Beliau berkata, perkara itu perlu dipandang serius kerana keganasan dalam institusi keluarga boleh mengakibatkan kecederaan parah, kematian atau membawa kepada perlakuan jenayah lain sekiranya tidak dibendung.

"Kadangkala, individu yang berdepan tekanan mungkin mencari ruang untuk melepaskan tekanan itu, namun ia tidak sepatutnya dilakukan dengan menggunakan kekerasan terhadap pasangan atau ahli keluarga,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara JKM Negeri Kelantan Tahun 2026, di sini, hari ini.

Che Samsuzuki berkata, sebanyak 32 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Kelantan setakat tahun ini, termasuk kejadian terbaharu membabitkan seorang wanita yang cedera parah selepas ditikam suaminya di Kampung Padang Lepai, Kadok, pada 5 Oktober.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, JKM akan terus bekerjasama dengan Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan, untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keganasan rumah tangga serta saluran bantuan yang tersedia kepada mangsa.

Che Samsuzuki berkata, mangsa yang mengalami keganasan, digesa tampil mendapatkan bantuan daripada JKM atau Pejabat Pembangunan Wanita, selain membuat laporan polis dan menjalani pemeriksaan perubatan sekiranya mengalami kecederaan.

"Jangan berdiam diri atau menganggap perkara itu sebagai masalah keluarga semata-mata.

"Mangsa perlu mendapatkan bantuan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil dan keselamatan mereka terjamin,” katanya.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved