Suami Orang Tapi Mengaku Bujang Depan Wanita Lain, Boleh Jatuh Talak Atau Tidak? Ini Penjelasan UAI [Video]

LocalFamily & Parenting
16 May 2025 • 5:59 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap orang pasti akan ada masa untuk berseloroh atau bergurau senda sesama rakan mereka sendiri.

Bagi sesetengah lelaki, ada yang gemar ‘mengusik’ wanita khususnya kaum hawa yang masih bujang dengan gurauan mereka itu.

Antara gurauan yang biasa digunakan oleh segelintir lelaki khususnya suami orang adalah mereka suka mengaku diri seorang ‘bujang’.

Namun, kenyataan sebegini kadangkala boleh menimbulkan pertanyaan adakah jatuh talak sekiranya lelaki yang berstatus suami orang membuat pengakuan sebegitu di hadapan wanita lain?

Suami Mengaku Bujang Tak Jatuh Talak – UAI

Tampil menjawab persoalan itu, pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

Jelas beliau dalam satu video ceramah yang dimuat naik di YouTube, ungkapan sebegitu tidak boleh menjatuhkan talak.

“Tak jatuh talak. Hari itu, keluar dalam Facebook ada orang tulis ‘mana-mana suami yang mengaku bujang depan perempuan, jatuh talak’.

“Ramai orang tak tahu, beribu orang kongsi (share) padahal status itu salah. Sahkan dahulu, tanya ustaz dulu kalau kita tak tahu,” katanya.

Talak Jatuh Sekiranya Ucapan Dibuat Dengan Jelas

Jelas agamawan berkenaan, talak hanya akan jatuh sekiranya ia dinyatakan dengan jelas.

“Dia yang jatuh talak adalah ucapan talak yang sarih (jelas) seperti ‘aku telah cerai akan kamu’, baru jatuh talak.

“Saya sudah bujang kerana telah bercerai dengan isteri saya minggu lepas’, itu baru jatuh talak. Kalau ‘saya bujang’, itu bukan lafaz talak,” katanya.

Menerusi video berasingan, UAI menjelaskan lafaz seperti ‘saya bujang’, ‘saya belum kahwin’ dan ‘saya tidak ada isteri’ tidak menyebabkan talak terjatuh memandangkan ia termasuk dalam lafaz kinayah iaitu lafaz yang tidak jelas kepada penceraian.

Namun, talak boleh jatuh sekiranya lafaz tersebut diiringi dengan niat untuk cerai dalam hati.

“Yang jatuh (talak), ‘Saya telah menceraikan isteri saya’,” ujarnya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Turut Memberi Penjelasan Sama

Pendapat yang sama turut dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman web rasmi mereka.

Mereka berpendapat kenyataan mengaku bujang yang dibuat oleh lelaki tidak termasuk dalam lafaz talak dan ia juga boleh dikategorikan sebagai lafaz kinayah yang sangat lemah.

Ini kerana kenyataan sebegitu boleh membawa banyak maksud antaranya seperti:

• Boleh jadi maksudnya ialah bujang tiga bererti lelaki yang sudah berkahwin satu boleh berkahwin lagi tiga.
• Boleh jadi juga membawa maksud dia ingin menceraikan isterinya.
• Boleh jadi juga bermaksud dia menipu menyatakan dia tidak pernah berkahwin, kerana mengaku bujang tidak sama jika mengaku duda.
• Mungkin juga maksudnya ialah dia berasa seperti seorang bujang yang memiliki masa lebih lapang untuk urusan peribadi.

“Justeru kami berpendapat tidak jatuh talak jika seorang lelaki mengaku bujang kerana perkataan itu tidak termasuk dalam lafaz sarih atau kinayah bagi talak.

“Jika termasuk sekalipun ia termasuk dalam makna yang paling ganjil dan lemah kerana bujang bermaksud tidak pernah berkahwin dan berbeza dengan duda,” jelas mereka.

Source: