Haram Cas Telefon Guna Elektrik Masjid Untuk Keperluan Peribadi, Ini Penjelasannya

LocalOpinion
15 May 2025 • 11:46 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kita pasti pernah melihat segelintir orang yang berada di masjid atau surau untuk berehat seketika selepas atau sebelum beribadah.

Malah, ada juga yang membersihkan diri seperti mandi, cuci muka atau menggunakan elektrik di tempat ibadat itu untuk mengecas telefon bimbit.

Perkara berkenaan sudah pasti biasa dilihat oleh orang ramai, namun timbul juga persoalan mengenai hukumnya jika ia dilakukan atas tujuan peribadi. Hal ini kerana lazimnya rumah Allah itu dibiayai dan dibayar dengan menggunakan harta wakaf atau derma orang ramai.

Dr Syed Shahridzan tampil perjelas hukum guna fasiliti masjid untuk kepentingan diri

Susulan itu, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamad telah tampil menjelaskan berhubung isu tersebut.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Dr Syed Shahridzan berkata penggunaan kemudahan masjid termasuk bekalan elektrik adalah terikat dengan batasan hukum syarak dan adab penggunaan harta wakaf.

“Masjid dibina melalui harta wakaf yang disalurkan oleh sebahagian pihak atau individu untuk manfaat ibadah bagi umat Islam. Selain binaan masjid barang keperluan, perkakas, kemudahan (fasiliti) masjid juga wujud atas hasil wakaf dan derma orang ramai sama ada dalam bentuk barangan atau wang ringgit.

“Kemudahan masjid yang wujud melalui derma orang ramai antaranya ialah elektrik dan air. Kedua-duanya hanya boleh dimanfaatkan pada perkara yang bersesuaian dengan fungsi masjid. Sebagai contoh air diwakafkan untuk berwuduk dan keperluan dalam tandas, manakala elektrik untuk pencahayaan masjid dan kepentingannya yang lain,” katanya.

Kemudahan masjid hanya untuk urusan berkaitan ibadah, kepentingan masjid dan maslahatnya

Jelasnya, kemudahan masjid hanya dibenarkan pada urusan yang berkaitan dengan urusan ibadah, kepentingan masjid dan maslahatnya.

Ujar Dr Syed Shahridzan, susulan itu kemudahan ini tidak boleh untuk tujuan peribadi melainkan diterima uruf (kebiasaan masyarakat setempat) seperti urusan ‘hajat’ dalam tandas dan minum.

“Sebagai contoh air masjid hanya untuk kegunaan wuduk dan seumpamanya, malah diharamkan pindah air tersebut ke tempat lain, seperti seseorang itu menggambil air dari masjid kemudiian minum di rumahnya (kalau minum di masjid tidak mengapa). Jadi status elektrik masjid diqiyaskan dengan air wakaf yang tidak boleh dibawa keluar,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, perkara ini ada ditegaskan di dalam kitab Nihayat al-Zain.

ولا يجوز نقل الماء المسبل للشرب من محله إلى محل آخر كأن يأخذه للشرب في بيته مثلا.

“Tidak harus (haram) memindahkan air yang diwakafkan untuk minuman dari tempat asalnya ke tempat lain, seperti mengambilnya untuk diminum di rumah sebagai contoh.”

Kitab Nihayat al-Zain

Haram cas telefon guna elektrik masjid

Oleh yang demikian, Dr Syed Shahridzan berpendapat penggunaan elektrik untuk mengecas telefon bimbit adalah haram kerana ia tidak diketagorikan sebagai kepentingan dan maslahat masjid, bahkan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Jelas beliau lagi, para ulama menegaskan bahawa barangan dan kemudahan wakaf tidak boleh digunakan untuk keperluan peribadi melainkan yang diterima oleh uruf seperti hajat di tandas dan wuduk.

وما وقف على عامة المسلمين فلا يحل له أخذ شيء منه وإن جرت العادة بالمسامحة منه كالشرب من السقايات والوضوء من الماء المسبل.

“Sesuatu yang diwakafkan untuk kegunaan umum umat Islam, maka tidak halal bagi seseorang mengambil apa-apa daripadanya walaupun sudah menjadi adat dengan kelonggaran darinya, seperti minum dari tempat air atau berwuduk dengan air yang diwakafkan.”

Kitab Nasyiat al-Syubramallisi ala al-Niyahat

Perlu bayar sewa jika guna kemudahan masjid untuk tujuan peribadi

Berkongsi lanjut, beliau menjelaskan seseorang yang menggunakan kemudahan masjid untuk tujuan peribadi wajib membayar sewa sebagai bayaran manfaat yang digunakan.

Katanya, bayaran itu wajib disalurkan untuk manfaat masjid iaitu konteks sekarang wang bayaran berkenaan harus diserahkan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid atau tabung masjid.

“Adakah boleh minta izin daripada pihak pentadbir masjid untuk cas hset tanpa perlu bayar? Masjid dan kemudahannya bukan milik pentabdir masjid. Pihak pentadbir hanya menjaga amanah para penderma dan pewakaf sahaja.

“Jadi pihak pentadbir masjid tiada hak untuk memberi keizinan untuk tujuan peribadi individu. Tanggungjawab pentadbir hanya memastikan kemudahan² dalam masjid disalurkan berdasarkan niat pewakaf dan penderma, iaitu untuk kepentingan dan maslahat masjid,” ujarnya.

Source: