Suami Penguat Semangat, Wanita Diuji Wajah Menua, Menggerutu Ketika Hamil

Family & Parenting
19 May 2025 • 5:45 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Suami Penguat Semangat, Wanita Diuji Wajah Menua, Menggerutu Ketika Hamil

Berita kehamilan umpama rembulan jatuh ke riba buat pasangan suami isteri terutamanya mereka yang bakal menimang cahaya mata pertama. Biarpun ramai yang berkesempatan membuat pelbagai persiapan secara fizikal, tetapi tidak semua yang sempat bersedia dari segi mental dalam menghadapi cabaran ketika hamil.

Kebanyakan dari kita sudah arif tentang mabuk hamil, hilang selera malah rasa letih yang berlipat kali ganda berbanding biasa. Namun, tiada siapa dapat menyangka, selain cabaran ini, masih ada segala macam ujian bakal dihadapi ibu hamil, terutamanya apabila berlaku perubahan hormon dalam badan.

Itulah yang dihadapi oleh seorang pengguna laman X, dikenali sebagai Lala ketika wanita tersebut mula hamil. Berkongsi ujian yang dialaminya sepanjang kehamilan, Lala menjelaskan kisah ini hanya sebagai luahan perasaannya, tidak lebih dari itu.

“Saya nak kongsi perjalanan kehamilan saya, bersyukur tak ada mabuk hamil dari mula hamil sampai sekarang dah lapan bulan. Tapi muka saya berubah 100 peratus,” mula wanita berkenaan.

Melihat gambar wajahnya sebelum dan selepas kehamilan yang dikongsi, seluruh wajah yang sebelum ini kelihatan normal bertukar menjadi menggerutu dan kelihatan berumur.

“Gambar yang saya letak tu memang 100 peratus tanpa tapisan. Dua-dua gambar tanpa tapisan. Muka saya mula berubah masa mengandung dua bulan. Saya perasan yang pakai produk penjagaan wajah apapun tak berkesan. Hari-hari naik jerawat yang jenis pustule dan muka jadi macam terbakar dek matahari. Lepas tu, hidung jadi kembang sangat,” luahnya.

Bukan itu sahaja, wanita berkenaan turut melihat wajahnya bertukar menjadi seakan menua disebabkan kemunculan garisan wajah yang lebih mendalam.

“Lepas tu, saya perasan yang dekat bahagian atas kening ada garisan dan semakin mendalam. Kebelakangan ini makin bertambah garisan tu. Makin dekat nak bersalin, makin teruk,” tambahnya.

image is not available
Kredit: Lala

Katanya lagi, perubahan ini tidak membuatkan dirinya rasa sedih tetapi sedikit sebanyak, ia membuatkan dirinya hilang keyakinan diri. Namun, dia bersyukur dikurniakan suami yang sering memberi kata semangat.

“Suami saya selalu cakap ni semua sementara, selalu bagi semangat dekat saya dan selalu puji saya. Dia cakap saya masih cantik dekat mata dia dan saya tak sepatutnya fikir bukan-bukan. Kalau tak ada dia yang berikan semangat, saya rasa saya dah jadi gila asyik menangis je sepanjang mengandung ni,”

Wanita berkenaan turut berterima kasih terhadap rakan karibnya yang sering memberikan kata-kata semangat. Dalam berkongsi kisahnya, Lala sempat meninggalkan pesanan buat para suami.

“Jangan ingat mengandung ni benda yang mudah, lain orang lain pengalaman. Jadi hargailah isteri korang sebab dia korbankan tubuh badan dia untuk lahirkan anak awak. Janganlah pula cakap epidural tu jalan mudah. Sembilan bulan bawa anak dalam perut, sakit pinggang apa semua.

“Dulu saya baca kes ni, rasa kesian sangat. Rupanya Allah uji saya juga masa mengandung kena macam ni. Semoga ibu-ibu hamil dipermudahkan urusan korang,” titipnya.

https://x.com/ayyitslala/status/1923631856114860205

Dalam perkongsian itu, Lala juga turut menepis komen-komen negatif dan tetap teguh dengan pendirian berkongsi kisah kehamilannya untuk mendidik masyarakat.

“Kepada semua bakal ibu yang alami perkara yang sama, beritahu mereka yang mereka tidak keseorangan. Sebab masa saya mula-mula kena, saya menangis teruk ye. Saya tanya kawan saya dan persoalkan ‘Kenapa orang lain mengandung cantik je? Berseri je? Kenapa saya sorang kena macam ni?’ Sebab saya nampak pempengaruh yang cantik-cantik je waktu mengandung.

“Jadi saya nak kongsi perjalanan kehamilan saya yang bukannya mudah. Tak payah jadi batu api,” jelasnya.

SK doakan semoga bakal ibu kuatkan semangat hadapi apa juga ujian sepanjang kehamilan.

Sumber: Lala