‘Suami saya boleh diselamatkan jika dibantu awal’

15 Oct 2026 • 9:31 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Suami saya boleh diselamatkan jika dibantu awal’

JELEBU – “Suami saya masih hidup dan boleh bercakap ketika saya tiba di lokasi kemalangan. Apa yang paling menyedihkan, bantuan awal daripada petugas kesihatan yang berada tidak jauh dari tempat kejadian tidak dapat diberikan.”

Demikian luahan Nordzulaikha Zainal, 38, yang menuntut penjelasan berhubung prosedur operasi standard (SOP) didakwa menghalang petugas Klinik Kesihatan Simpang Durian daripada membantu suaminya, Allahyarham Mohd. Izwan Afendi, 39, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 30 September lalu.

Menurut Nordzulaikha yang mesra disapa Enot, suaminya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan mengambil anak tunggal mereka, Naim Mohd. Izwan Afendi, 4, di taska sebelum dia menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian ber­kenaan.

Katanya, kemalangan berlaku kira-kira pukul 3.29 petang sebelum panggilan kecemasan 999 dibuat pada pukul 3.38 petang, namun ambulans dilaporkan hanya tiba pada pukul 4.36 petang, iaitu selepas kira-kira 58 minit.

“Saya sampai di lokasi sekitar pukul 3.50 petang dan ketika itu suami masih sedar serta boleh bercakap. Dia sempat membe­ritahu bahawa kecederaannya tidak dirasakan terlalu serius, tetapi mengeluh kerana ambulans lambat sampai dan keadaan jalan tar yang panas.

“Bagaimanapun, beberapa minit sebelum ambulans tiba, arwah mula mengadu sukar bernafas,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Nordzulaikha berkata, perkara yang lebih menimbulkan persoalan ialah lokasi kemalangan yang dikatakan terletak kurang 500 meter dari Klinik Kesihatan Simpang Durian, namun permintaan keluarganya supaya petugas perubatan datang memberikan bantuan awal didakwa tidak dipenuhi.

Ujarnya, abangnya yang pergi sendiri ke klinik merayu supaya doktor yang bertugas datang memeriksa keadaan suami, malah mendakwa seorang pembantu perubatan sudah bersedia untuk keluar membantu ketika permintaan itu dibuat.

“Namun petugas berkenaan tidak dibenarkan atas alasan dia perlu pergi bersama ambulans,” ujarnya.

Katanya, keluarga bukan mempertikaikan keperluan mematuhi prosedur keselamatan atau pengurusan kecemasan, sebaliknya mahu mengetahui sama ada terdapat ruang dalam SOP sedia ada yang membolehkan bantuan perubatan awal diberikan sementara menunggu ketibaan ambulans.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa atau membuat kesimpulan bahawa suami boleh di­selamatkan jika bantuan tiba lebih awal kerana perkara itu memerlukan penilaian pakar. Saya sudah melantik peguam dan sedang mengumpulkan dokumen untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang,” ujarnya.

The post ‘Suami saya boleh diselamatkan jika dibantu awal’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved