
KUALA TERENGGANU – Seramai tujuh wanita warga Myanmar yang disyaki baru dibawa masuk secara haram ke negara ini oleh suami masing-masing berjaya diberkas dalam Operasi Bersepadu Mega dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Rumah Pangsa Sri Kolam, di sini, hari ini.
Salah seorang daripada mereka yang diberkas dalam operasi berakhir pukul 4 pagi itu merupakan seorang ibu muda yang masih dalam pantang dipercayai baru sebulan melahirkan anak.
Sebahagian tujuh wanita disyaki pendatang asing tanpa izin tersebut menangis tanpa henti sehingga diarahkan menaiki kenderaan JIM untuk dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, tangkapan turut melibatkan seorang bayi berusia sebulan serta seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun.
“Kita percaya bayi dan kanak-kanak tersebut merupakan anak antara tujuh wanita warga Myanmar yang ditahan berkenaan. Begitupun pemeriksaan awal mendapati kebanyakan suami mereka mempunyai dokumen sah untuk menetap di negara ini,” katanya selepas mengetuai operasi tersebut di sini hari ini.
Lokman Effendi Ramli berkata, siasatan awal percaya kesemua wanita warga Myanmar terbabit dibawa masuk ke negara ini menggunakan ejen tidak sah.
Beliau berkata, operasi sama turut mengesan kegiatan sepasang suami isteri warga Myanmar yang menjadikan rumah sewa sebagai kedai runcit. – KOSMO! ONLINE
The post Suami ‘seludup’ isteri masuk Malaysia appeared first on Kosmo Online.






