KUALA LUMPUR – Hutang mencecah RM260,000 akibat hubungan isteri dengan individu dipercayai ‘love scammer’ disyaki motif empat sekeluarga ditemui mati di sebuah kondominium di Desa Parkcity Kepong di sini pada Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, nota berkenaan yang ditinggalkan suspek yang juga suami mangsa di atas meja makan turut menyatakan rasa kesal terhadap isterinya yang didakwa mempunyai hubungan dengan scammer berkenaan.
"Suspek dipercayai menanggung kerugian dan hutang akibat hubungan tersebut selain berasa kecewa apabila isterinya masih cuba menghubungi scammer terbabit.
“Suspek merasakan perbuatan itu sudah melampau dan berasa malu kepada anak-anak,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata bedah siasat terhadap mayat anak perempuan berusia sembilan tahun selesai dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
“Bedah siasat bermula jam 9 pagi dan satu liang tikaman pada bahagian leher berukuran lima sentimeter ditemui pada mayat mangsa.
“Usai solat Jumaat, bedah siasat kedua akan dijalankan terhadap mayat isteri,” katanya.
Fadil berkata, tiga bedah siasat dijangka dijalankan hari ini manakala bedah siasat terhadap mayat suspek dijangka dilakukan esok.
“Pasukan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan mengadakan lawatan ke tempat kejadian pada pagi esok sebelum bedah siasat terhadap mayat suspek dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, polis turut menemui sebilah pisau serta sepasang sarung tangan yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan berkenaan.
"Kedua-dua barangan terbabit ditemukan di dalam sebuah laci di bilik tidur utama. Kes berkenaan masih dalam siasatan polis," katanya.
Pada Khamis, polis menerima laporan pada jam 3.32 petang berhubung seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun ditemui mati di bangunan kediaman terbabit.
Menurutnya, pihak polis telah ke rumah mangsa dan berjaya membuka pintu unit berkenaan dengan bantuan pihak bomba.
Seorang wanita berumur 47 tahun dan merupakan isteri mangsa, dua kanak-kanak masing-masing perempuan dan lelaki berumur sembilan dan tujuh tahun merupakan anak kepada pasangan tersebut.
Ketiga-tiga mangsa didapati mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.
Fadil dilaporkan berkata, kes diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta mati mengejut (SDR).






