Suami Syura melecur teruk akibat letupan gas memasak. 'Ya ALLAH berikan kesembuhan buat suamiku'

LocalEntertainment
25 Nov 2024 • 5:10 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

'KUAT sangat sayang ni. Saya tak kuat tengok keadaan awak sayang.'

Demikian luah penyanyi Syura Badron yang berkongsi berita duka menimpa suaminya.

Syura atau nama penuhnya Zuraidah binti Badron, 38, dalam hantaran di Instagram mendedahkan Muhamad Farizat Ismail, 30, mengalami kecederaan melecur yang teruk susulan letupan gas memasak.

image is not available

"Dengan berat hati saya ingin maklumkan suami saya, Farizat telah di masukan ke hospital kerana melecur teruk di bahagian muka, kaki dan tangan akibat letupan gas memasak yang berlaku di tempat penginapan kami di Perlis pada hari malam Jumaat lalu.

"Saya mohon doa daripada semua agar diberikan kesembuhan buat suami dan diberikan kekuatan menghadapi ujian ALLAH ini.



"Ada hikmah yang baik disebalik ujian ini, ALLAH Maha Baik," kongsinya.

Pelantun lagu Ghazal Perindu itu turut memuat naik foto memaparkan baju T dipakai suaminya yang musnah dijilat api dan kesan letupan yang menyebabkan struktur tingkap serta siling rumah penginapan itu rosak akibat tekanan.

"Buat suami saya, Farizat. Awak lelaki yang sangat hebat yang pernah saya jumpa. Dalam menahan sakit awak masih mampu tersenyum untuk saya dan anak-anak.

"Terima kasih sebab bertahan demi kami. Semoga ALLAH angkat sakit yang awak rasa dan diberikan kesembuhan secepatnya.

"Moga ini menjadi asbab pahala yang besar buat awak. Saya akan selalu ada untuk awak, selamanya," luah Syura.

image is not available

Rakan selebriti dan warganet turut mendoakan agar suami kepada MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua itu sembuh. Ujar mereka;

"Allahurabbi, innalillah. Moga ALLAH sembuhkan dan dipermudahkan semua."

"Allahuakhbar,smeiga diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusan Syura sekeluarga."

"Insya-ALLAH dengan izin-NYA suami Syura sembuh, aamin."

Syura dan Farizat berkahwin pada 23 Januari 2022 dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia setahun lapan bulan.

Terdahulu, Syura berkahwin kali pertama dengan Mohd Fadhly Md Yassin berkahwin pada 16 April 2006 sebelum berpisah pada Ogos 2015.

Hasil perkahwinan itu, Syura dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdani, 17, Nurul Qaisara Sofia, 15, dan Muhammad Irfan Aryan, 13.