liza05/10/2026 - 11:38 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt – Kos subsidi bahan api Malaysia berpotensi meningkat sehingga RM52 bilion tahun ini, lebih tinggi daripada anggaran kerajaan sekitar RM40 bilion susulan kenaikan harga produk petroleum bertapis yang mengatasi peningkatan harga minyak mentah.
BIMB Securities Research berkata keadaan itu adalah antara risiko utama kepada rangka kerja Belanjawan 2027 kerana peningkatan kos subsidi boleh mengehadkan usaha kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal.
Menurut firma penyelidikan itu, jangkaan peningkatan kos subsidi bahan itu mungkin memerlukan sumbangan dividen lebih tinggi daripada PETRONAS atau melambatkan langkah pengukuhan fiskal seterusnya,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
BIMB Research berkata kerajaan dijangka terus memberi tumpuan kepada bantuan tunai bersasar, kesihatan, pendidikan, keselamatan air, peralihan tenaga dan penyelenggaraan infrastruktur, berbanding pelaksanaan projek mega baharu secara besar-besaran dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.
Harga minyak mentah dan bahan api bertapis bergerak berbeza
Menurut BIMB Research, kenaikan kos subsidi berlaku ketika margin penapisan (refining margin) melebar dengan ketara, menyebabkan harga bahan api bertapis meningkat walaupun harga minyak mentah turut naik.
Keadaan itu mewujudkan ketidakpadanan antara hasil petroleum kerajaan dengan kos subsidi kerana hasil kerajaan lebih banyak dipengaruhi harga minyak mentah, manakala kos subsidi pula bergantung kepada harga runcit bahan api yang berkaitan dengan produk petroleum bertapis.
“Apabila margin penapisan meningkat, perbelanjaan subsidi boleh berkembang pada kadar lebih pantas berbanding hasil berkaitan petroleum, sekali gus mengurangkan manfaat fiskal yang biasanya diperoleh ketika harga minyak meningkat,” katanya.
BIMB Research turut berkata permintaan bahan api kekal berdaya tahan walaupun harga tenaga meningkat, manakala pertumbuhan penggunaan, kebocoran subsidi dan aktiviti seludup rentas sempadan terus mengehadkan pengurangan kos subsidi secara semula jadi.
Keadaan itu meningkatkan risiko perbelanjaan subsidi bahan api kekal tinggi untuk tempoh lebih lama daripada jangkaan.
Belanjawan 2027 berdepan tekanan perbelanjaan
Bagi Belanjawan 2027, BIMB Research berkata pengurusan perbelanjaan mungkin menjadi cabaran lebih besar berbanding kutipan hasil.
Walaupun harga minyak yang lebih tinggi sepatutnya membantu meningkatkan hasil kerajaan, sebahagian besar manfaat itu berisiko diimbangi oleh peningkatan subsidi bahan api, sekali gus mengehadkan usaha kerajaan untuk mempercepatkan pengurangan defisit fiskal.
Firma penyelidikan itu turut melihat kemungkinan peningkatan pembayaran dividen daripada PETRONAS, selain perhatian terhadap keupayaan penjanaan tunai kumpulan itu daripada syarikat tersenarainya.
Dalam tempoh 10 tahun lalu, PETRONAS pernah menjual pegangan minoriti dalam MISC Bhd, Petronas Gas Bhd dan Petronas Dagangan Bhd, termasuk urus niaga blok pada 2019, yang ketika itu dinyatakan sebagai langkah mengoptimumkan portfolio.
BIMB Research berkata kenaikan harga minyak kini tidak lagi memberi manfaat yang jelas kepada kedudukan fiskal Malaysia kerana interaksi antara harga minyak mentah yang tinggi, margin penapisan yang lebih besar dan permintaan bahan api yang berdaya tahan boleh menyebabkan sebahagian besar tambahan hasil petroleum diserap oleh subsidi.
Infrastruktur kekal diberi keutamaan
Di luar tekanan subsidi, Belanjawan 2027 dijangka terus menyokong perbelanjaan infrastruktur, namun BIMB Research tidak menjangkakan peningkatan ketara dalam perbelanjaan pembangunan kerajaan Persekutuan.
“Sebaliknya, peruntukan dijangka lebih tertumpu kepada projek tebatan banjir, infrastruktur air, peningkatan rangkaian grid elektrik serta projek pengangkutan sedia ada.
“Kerjasama awam-swasta (public-private partnership) juga dijangka memainkan peranan lebih besar dalam pelaksanaan projek, sejajar dengan keperluan kerajaan mengawal komitmen fiskal baharu,” jelasnya.
Pada masa sama, pematuhan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dijangka mengehadkan komitmen fiskal baharu berskala besar, sekali gus meningkatkan kepentingan projek berasaskan kerjasama awam-swasta serta pelaburan oleh syarikat berkaitan kerajaan.
Utiliti, tenaga boleh baharu dan air antara sektor pilihan
BIMB Research berkata sektor yang paling berkait rapat dengan keutamaan dasar kerajaan dijangka mendapat manfaat paling jelas, khususnya utiliti, tenaga boleh baharu, infrastruktur air, penjagaan kesihatan dan beberapa syarikat pengguna.
Dalam sektor infrastruktur, Gamuda Bhd dilihat mempunyai pendedahan kepada beberapa tema utama menerusi projek air, pengangkutan, tenaga dan daya tahan terhadap perubahan iklim.
Sementara itu, Tenaga Nasional Bhd kekal sebagai penerima manfaat utama daripada peningkatan permintaan elektrik yang didorong oleh pusat data serta pelaburan dalam peralihan tenaga.
BIMB Research turut menjangkakan perbelanjaan pengguna terus disokong oleh peruntukan lebih tinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang berpotensi memberi manfaat kepada peruncit berorientasikan nilai dan syarikat barangan keperluan. - DagangNews.com





