
PETALING JAYA – Pelaksanaan subsidi petrol bersasar menerusi Budi Madani RON95 (Budi95) mencuri perhatian apabila rata-rata pengguna media sosial mengakui, mereka kini kurang menyedari perubahan harga sebenar bahan api itu.
Menerusi perkongsian di laman Threads, seorang pengguna, @Nrhrairahrs mn_ meluahkan rasa terkejut apabila menyedari harga petrol sudah mencecah RM4.57 seliter.
“Sedap sangat pakai Budi95 sampai tak sedar minyak dah RM4.57 seliter,” katanya.
Seorang pengguna, @Nmshfarn berkata, dia hanya menyedari perubahan harga selepas jumlah yang tertera pada pam melebihi kebiasaannya.
“Baru terfikir tadi sebab biasanya isi 25 liter, dekat pam tunjuk RM100 lebih sedikit sahaja. Tadi isi RM114. Lepas itu baru terfikir harga minyak naik turun pun tidak sedar sebab ada Budi,” katanya.
Sementara itu, @Emy_de_kuale turut mengakui terkejut apabila jumlah bayaran bagi lima liter petrol kini melebihi RM11 berbanding bawah RM1, sebelum ini.
“Perasan juga sebab hari ini isi RM5, biasanya bawah RM10 sahaja dekat meter, sekarang dah RM11 lebih untuk dua liter lebih,” katanya.
Pengguna lain, @Hanxisland pula berkata, perbualannya bersama rakan-rakan dari luar negara yang membayar sekitar RM5 hingga RM6 seliter membuatkannya lebih menghargai subsidi dinikmati.
“Hari itu berbual dengan kawan-kawan dari luar negara. Semua bayar RM5 hingga RM6 seliter. Automatik rasa bersyukur,” katanya.
@Nhusna.ahmad turut berkongsi pengalaman apabila terkejut melihat jumlah RM114 ketika mengisi minyak sebelum bersyukur kerana masih menikmati Budi95.
“Sama, baru tadi isi minyak tengok jumlah RM114. Mahalnya petrol sekarang. Nasib ada Budi95,” katanya.
Dalam pada itu, @Melmel_niss menyifatkan mekanisme subsidi berkenaan membantu pengguna berdepan perubahan harga petrol.
“Bersyukur ada kerajaan yang bijak mengawal subsidi minyak,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Netizen bersyukur ada Budi95, harga petrol RM4.57 seliter pun tak terasa appeared first on Kosmo Online.






