Subsidi Diesel Perlu Dilaksana, Elak Salah Guna Golongan Maha Kaya, Warga Asing - PM

14 Jul 2024 • 8:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri (kanan) melihat antara produk yang dijual - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Penyasaran subsidi diesel perlu dilakukan kerana adalah tidak wajar untuk membiarkan kemudahan itu dipergunakan oleh golongan maha kaya dan warga asing.

Menjelaskan perkara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dipersetujui semua Perdana Menteri yang mentadbir negara sejak 1990-an.

image is not available
Perdana Menteri bersalaman dengan orang ramai ketika hadir merasmikan sambutan Hari FELDA - Gambar PMO

Mengakui ada kelemahan dalam pelaksanaan yang perlu diperbaiki, beliau berkata, kerajaan sedia membantu golongan FELDA yang bergantung kepada diesel untuk melalui kehidupan seharian.

“Saya mendengar keluhan warga FELDA yang banyak bergantung kepada diesel dalam kehidupan seharian dan sedia mencari jalan membantu selagi mana ia dirunding secara baik dan waras, ketimbang maki hamun dan cercaan semberono. 

“Hasil perbincangan yang baik dengan pengurusan FELDA, saya bersetuju untuk meluluskan peruntukan tambahan subsidi diesel berjumlah RM100 juta kepada FELDA untuk menampung kos operasi ladang,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Jelas Anwar, peruntukan tambahan itu diumumkan ketika berucap pada berucap Majlis Perasmian Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 di MAEPS, Serdang.

image is not available
Perdana Menteri melihat antara hasil jualan dihasilkan peneroka Felda - Gambar PMO

Sambutan berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan berjumlah RM31.7 juta atau RM100,000 bagi setiap 317 rancangan FELDA untuk melaksanakan projek ekonomi tambahan.

Projek itu katanya, membabitkan warga peneroka menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

“Namun saya tegaskan FELDA perlu memastikan pengurusan yang cekap tanpa campur tangan pihak lain serta menghentikan segala kebobrokan, kecurangan dan ketirisan wang rakyat,” katanya.

Anwar berkata, beliau pada ucapan turut menyingkap kisah orang-orang miskin puluhan tahun lalu yang sanggup berkorban meninggalkan keluarga dan kampung halaman meneroka tanah-tanah hutan.

“Pengorbanan bagi menyambut idea dicetuskan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bagi membantu mengangkat darjat orang-orang miskin ini selaras dengan ibrah pengorbanan Nabi Muhammad SAW yang meninggalkan Makkah untuk berhijrah ke Madinah.

“Atas semangat itu, saya tegaskan betapa warga FELDA perlu menekuni semangat hijrah Baginda dengan memastikan FELDA menjadi contoh ikutan terbaik dengan memperbaiki diri, meninggalkan sikap lapuk dan menjadi umat yang seimbang,” katanya. - Getaran, 14 Julai 2024